Lima dikompaun hadir kenduri sambut cucu

Iklan
Pemeriksaan di lokasi kejadian di Sungai Lalang, Sungai Petani mendapati tuan rumah dan tetamu sedang berkumpul bagi meraikan sambutan kelahiran cucu baharu.- Foto PDRM

SUNGAI PETANI- Lima individu termasuk tetamu dan tuan rumah dikompaun RM4,000 kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menghadiri kenduri kelahiran cucu baharu di Sungai Lalang di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kesemua individu termasuk dua wanita berusia antara 19 hingga 61 tahun dikompaun kerana gagal mematuhi penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, semasa membuat pemantauan Ops Covid-19 PKP 2021, polis menerima aduan daripada orang awam di mana satu majlis kenduri sedang dianjurkan.

"Sampai di lokasi, pemeriksaan dijalankan dan mendapati kesemua yang hadir sedang berkumpul dengan tidak mematuhi penjarakan fizikal serta tidak memakai pelitup muka," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Adzli berkata, mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk tindakan kompaun.

"Hasil siasatan mendapati, mereka adalah tuan rumah serta tetamu yang dijemput hadir ke kenduri kesyukuran untuk menyambut kelahiran cucu baharu.

Iklan

"Mereka telah diterangkan kesalahan dilakukan dan dikeluarkan kompaun mengikut Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2021," katanya.

Katanya, kesemua individu itu telah diterangkan agar menjelaskan kompaun dalam tempoh 14 hari dari tarikh kompaun dikeluarkan di Pusat Kesihatan Daerah.