KUALA TERENGGANU - Sebuah lagi perangkap dipasang di kawasan lombong tinggal di Kampung Tepoh, Kuala Nerus sebagai usaha menangkap seekor buaya tembaga digelar Mamat yang didakwa muncul kembali.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusuf berkata, perangkap kedua itu dipasang pada Selasa lalu pada jarak 100 meter dari lokasi perangkap pertama diletakkan.
Bagaimanapun, katanya, sehingga kini usaha menangkap buaya tembaga yang saiznya dipercayai sudah mencecah 5.79 meter belum membuahkan hasil.
"Memang kita ada nampak kelibat haiwan ini muncul di kawasan sekitar itu. Malah ketika perangkap dipasang pun buaya ini timbul, tapi ia tidak masuk dalam perangkap yang kita letakkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Pada 23 Mei lalu, Perhilitan Terengganu memasang perangkap di kawasan berkenaan bagi menangkap Mamat dan telah membuat satu laporan di Balai Polis Batu Rakit sebagai persediaan supaya perangkap berkenaan tidak diganggu.
Laporan itu dibuat kerana sebelum ini ada pihak tidak bertanggungjawab merosakkan perangkap dipasang Perhilitan itu sekitar dua tahun lepas.
Sementara itu, Dr Abdul Malek berkata, beliau mendapat laporan terdapat cubaan pihak tertentu untuk masuk ke kawasan perangkap buaya dipasang, namun berjaya dihalang anggota polis yang meronda di kawasan itu.
Menurutnya, polis sudah memasang pita larangan bagi menghalang orang awam memasuki kawasan lombong itu bagi mengelakkan perangkap yang dipasang dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.
"Saya dimaklumkan terdapat dua cubaan masuk ke kawasan itu, tapi gagal kerana polis ada menjaga. Saya harap orang ramai tidak masuk ke kawasan itu dan usaha menangkap buaya ini akan berhasil,” katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seekor buaya tembaga digelar Mamat muncul semula di kawasan lombong tinggal di Kampung Tepoh, Kuala Nerus dikatakan semakin membesar.
Menerusi video dimuat naik seorang pengguna laman sosial Facebook, dia mengatakan saiz reptilia yang dianggarkan berusia enam tahun.
Pada tahun 2019, kisah Mamat menarik perhatian penduduk di sekitar kampung itu apabila ia muncul setelah menghilangkan diri selama dua tahun di kawasan lombong tinggal berkenaan.
Kisah buaya itu pernah tular pada tahun 2016.
ARTIKEL BERKAITAN: Jangan ganggu kami tangkap Mamat: Perhilitan