Tambah SJR kawal pergerakan orang ramai

Iklan
Mohd Hedzir ketika meninjau SJR di Lebuh AMJ Paya Rumput, Melaka pada Selasa.

MELAKA - Bilangan sekatan jalan raya (SJR) di negeri ini ditambah daripada 11 kepada 15 SJR bagi mengawal pergerakan orang ramai dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh bermula Selasa.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti negeri, Asisten Komisioner Mohd Hedzir Hussin berkata, penambahan empat SJR itu membabitkan penugasan seramai 171 anggota.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebanyak lapan penambahan SJR bergerak atau ‘mobile’ yang mana lokasinya berubah mengikut keadaan semasa.

"Penambahan SJR dan mobile sebagai usaha polis untuk mempertingkatkan pemantauan dan pengawasan orang ramai bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat sepanjang tempoh itu.

Iklan

"Lebih penting memastikan tiada aktiviti rentas daerah atau negeri tanpa alasan yang tidak munasabah, bagi memutuskan rantaian Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau SJR di Lebuh Raya Alor Gajah - Melaka Tengah - Jasin (AMJ) berhampiran Paya Rumput, di sini pagi Selasa.

Iklan

Hadir sama Pegawai Turus Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Deputi Superintendan Nik Ab Halim Nik Mat.

Mengulas lanjut, pemeriksaan secara mengejut turut dilaksanakan pasukan pemantauan SOP membabitkan pegawai dan anggota berpakaian preman dengan penambahan daripada 10 sebelum ini kepada 19 pasukan dengan kekuatan seramai 80 orang.

Ujar beliau, pasukan pematuhan SOP ditingkatkan daripada 707 kepada 821 orang dan pasukan ini bertindak memantau lokasi tumpuan orang ramai termasuk premis perniagaan, rumah ibadah, pasar raya, taman rekreasi dan pejabat kerajaan selain pemeriksaan di kawasan luar bandar termasuk laluan tikus.

"Setakat ini polis berpuas hati dengan pematuhan SOP orang ramai di negeri ini yang dianggarkan melebihi 96 peratus dan berharap orang ramai terus berada di rumah jika tiada sebarang kepentingan untuk keluar," katanya.