SHAH ALAM – Muslimat Pas berharap pengisian sumbangan wang oleh penjawat awam sebanyak RM30 juta ke Akaun Amanah Bencana membolehkan rakyat yang memerlukan dapat dibantu sebaik mungkin.
Ketuanya, Senator Nuridah Mohd Salleh berkata, dengan bantuan itu, diharap tiada lagi mereka yang menghadapi masalah tidak mempunyai bekalan makanan atau sukar untuk meneruskan kelangsungan hidup akibat Sekatan Pergerakan Penuh yang bermula pada Selasa.
"Dewan Muslimat Pas mengucapkan setinggi penghargaan dan jutaan terima kasih atas keprihatinan semua penjawat awam yang menunjukkan solidariti dengan memberikan sebahagian Imbuhan Tetap Keraian bagi Pengurusan Tertinggi dan Gred 44 hingga Gred 56 serta Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) bagi Gred 29 hingga Gred 41 yang dinikmati sekarang ke Akaun Amanah Bencana.
"Sesungguhnya hanya ALLAH dapat membalas sumbangan lebih 800,000 penjawat awam tidak termasuk barisan hadapan serta penjawat awam Gred Satu hingga Gred 28,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali sebelum ini dilaporkan berkata, lebih 800,000 penjawat awam bakal menyumbang imbuhan dinikmati mereka selama tiga bulan kepada Akaun Amanah Bencana yang dianggarkan berjumlah RM30 juta.
Mohd Zuki berkata, ia sebahagian manifestasi solidariti penjawat awam dalam membantu kerajaan mendepani Covid-19 yang serius ketika ini.
Sementara itu, Nuridah berkata, bagi menunjukkan solidariti dan keprihatinan, Pas juga akan melancarkan Tabung Bencana Covid-19 pada malam Selasa.
"Pas akan menggunakan wang yang didermakan untuk menggerakkan program-program kebajikan yang sentiasa digerakkan oleh lajnah kebajikan di seluruh Malaysia.
"Dewan Muslimat Pas juga mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk meneruskan usaha memerangi pandemik ini dan bersama berusaha melandaikan keluk jangkitan,” katanya.
Menurutnya, tanpa usaha dan kebersamaan rakyat, negara tidak akan berjaya keluar dari masalah pandemik Covid-19 secara bersama.
ARTIKEL BERKAITAN: Penjawat awam sumbang sebahagian gaji bantu perangi Covid-19
Sumbangan imbuhan tetap penjawat awam perlu dibuat sukarela