SHAH ALAM - Pembukaan Parlimen dapat membantu kerajaan dalam menangani isu pandemik Covid-19, kata Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menurutnya, melalui persidangan tersebut, ia dapat membantu dari aspek pengurangan kes dan juga meningkatkan kefahaman rakyat berkaitan Covid-19.
"Rata-rata di dunia, pandemik ini menghuru-harakan negara. Saya membuat cadangan bahawa pembukaan Parlimen perlu dilakukan walaupun dalam keadaan wabak yang dihujani dengan jumlah harian yang tinggi.
"Bagi saya pembukaan Parlimen dapat membantu kerajaan untuk mengurangkan isu pandemik ini, bukan dari aspek elemen virus ini sahaja, tetapi fahaman oleh rakyat.
"Saya berpegang pada prinsip di dalam Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan mengatakan bahawa jemaah menteri bertanggungjawab secara bersama dalam Parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Webinar Bersih 2.0 dan Sinar Harian yang bertajuk Mengapa Parlimen Perlu Bersidang Semasa Covid-19 yang disiarkan di Facebook pada Isnin.
Turut menjadi panelis pada webinar tersebut ialah Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Profesor Chin Huat selaku moderator.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, jika Parlimen dibuka dan persidangan dilakukan secara fizikal mahupun maya, perkara itu dilihat tidak mengganggu gugat pendekatan kerajaan untuk memerangi wabak Covid-19.
"Saya lihat pembukaan Parlimen akan membantu. Kita sebagai ahli Parlimen, semua permasalahan termasuk Covid-19, rakyat akan tanya kepada kita. Bila Parlimen dibuka, ia akan membantu kefahaman rakyat,” ujarnya.
Selain itu, katanya, kabinet darurat wajar ditubuhkan dan perlu mempunyai kerjasama daripada semua parti politik.
Jelas Azalina yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat, dalam keadaan kini, politik perlu diketepikan dan menjadikan rakyat serta negara sebagai keutamaan.
"Kerajaan darurat tidak semestinya orang politik. Semua boleh jadi asalkan orang yang berkelayakan. Ia juga boleh dipimpin oleh pakar-pakar yang mana boleh membawa kepada keselamatan rakyat dan negara,” katanya.
Sementara itu, menurut Wong Cheng, kerajaan perlu menyediakan kriteria-kriteria yang menjadi sasaran untuk menamatkan darurat.
Jelasnya, melalui darurat, kerajaan telah diberikan kuasa sepenuhnya dan perlu digunakan sebaik mungkin dalam menangani wabak Covid-19 tersebut.
"Darurat yang dilaksanakan ini berdasarkan pandemik. Jadi kriterianya mesti ditulis. Apa kriteria untuk tamatkan darurat. Sama ada kes Covid-19 menurun, ataupun kadar vaksinasi naik.
"Mereka ada kuasa. Isytihar apa sahaja untuk melawan Covid-19. Tapi mereka tidak guna dengan baik. Jangan jadikan darurat sebagai agenda politik sahaja,” ujarnya.