PUTRAJAYA - Institusi perbankan dijangka mengumumkan pakej khusus kepada peminjam individu dan syarikat yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0).
Menteri Kewangan Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pakej tersebut bakal memenuhi keperluan peminjam.
"Institusi perbankan komited untuk memproses pakej berkenaan dengan cara yang mudah dan efisien," katanya dalam sidang akhbar khas secara maya pada Selasa.
Menurutnya, maklumat lanjut mengenai pakej berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat.
"Saya ingin tekankan bantuan bukanlah sekadar berbentuk moratorium tetapi terdapat pakej khusus ditawarkan oleh bank," katanya.
Beliau berkata, bantuan moratorium yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Plus) boleh dimanfaatkan oleh semua individu termasuk perniagaan.
"Golongan M40, T20 serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan boleh menikmati moratorium dengan kelulusan secara automatik," katanya.
Tengku Zafrul berkata, sekurang-kurangnya terdapat lima juta individu dan syarikat yang terjejas dan mereka boleh memilih salah satu daripada dua pilihan yang telah ditawarkan.
Sementara itu, mengulas mengenai impak PKP terhadap ekonomi negara, beliau mengakui pelaksanaannya dijangka memperlahankan pemulihan ekonomi.
"Kerajaan memerlukan tempoh untuk menilai sejauh mana kesan itu," katanya.
Menurutnya, situasi pandemik yang dihadapi negara pada ketika ini sangat dinamik.
"Kita mempunyai dua minggu bagi fasa pertama PKP 3.0 dan memerlukan jangkaan impak bagi fasa kedua," katanya.
Pada perkembangan sama beliau berkata, kerajaan mempunyai lebih RM200 bilion daripada RM322.5 bilion peruntukan Belanjawan 2021 yang belum dibelanjakan.
"Ia akan digunakan untuk program pakej rangsangan ekonomi termasuk PEMERKASA Plus bagi membantu rakyat mendepani pandemik Covid-19," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan umum Pemerkasa Tambahan RM40 bilion