'Pendapatan hanya cukup makan'

Iklan
Wan Rosdy menyampaikan sumbangan kepada pemandu teksi di Terminal Sentral Kuantan pada Selasa.

KUANTAN - Pemandu teksi mengakui pendapatan diperoleh 'sekadar cukup makan' sejak berdepan pandemik Covid-19 setahun lalu.

Kebanyakan pemandu teksi mendakwa, kadang kala mereka terpaksa pulang tangan kosong kerana tiada pelanggan lebih-lebih lagi sejak bermula Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Sekatan Pergerakan Penuh yang diumumkan kerajaan.

Iklan
Iklan

Bagi Hamidi Abdul Rahim, 55, berkata, kehidupan tetap diteruskan walaupun punca pendapatan sudah terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Kalau hendak dibandingkan dua tahun lepas banyak bezanya, dulu banyak pelanggan, tapi sekarang ini ada tapi tidak ramai.

Iklan

"Boleh hidup untuk belanja makan harian, sekurang-kurangnya sudah terlepas makan minum keluarga itu sudah memadai," katanya ketika ditemui selepas menerima Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Covid-19 secara bersasar untuk pemandu teksi di Terminal Sentral Kuantan, di sini pada Selasa.

Seramai 231 pemandu teksi di daerah ini menerima sumbangan wang tunai dan pek makanan yang disampaikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Iklan
Pemandu teksi, Tun Mohd Rosidi Tun Abdullah menerima sumbangan berupa wang tunai daripada Wan Rosdy di Terminal Sentral Kuantan pada Selasa.

Hadir sama Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Datuk Abd Rahim Muda, Pegawai Daerah Kuantan, Tengku Datuk Nor Asmaliza Ku Lah dan Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.

Ahmad Omar, 61, turut mengakui pendapatannya terjejas teruk bukan sahaja pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, tetapi berdepan situasi sama ketika ini.

Jelasnya, hampir 80 peratus pendapatannya terjejas susulan tidak menerima pelanggan.

"Kalau sebelum berlaku kes Covid-19, saya mampu memperoleh pendapatan sehingga RM3,000 sebulan, tapi sekarang ini hanya mampu meraih kira-kira RM800 sebulan," katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Datuk Hamdan Hussin berkata, kerajaan Pahang mengagihkan sumbangan sebanyak RM36,600 kepada pemandu teksi berdaftar di daerah ini.

Katanya, sumbangan itu diberikan sebagai bantuan kepada golongan pemandu teksi yang terjejas pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Sekatan Pergerakan.

Habis#