Hanya dua tin sardin buat penduduk PKPD Pangsapuri Sri Penara

Iklan
Kawat duri yang dipasang di bawah pangsapuri menyukarkan penduduk keluar membeli barang keperluan.

KUALA LUMPUR - Penduduk di Blok C dan D Pangsapuri Sri Penara, Cheras di sini mendakwa mereka sudah kehabisan bahan basah untuk dimasak pada hari kelima pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pada 26 Mei lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD di kawasan itu selain Pangsapuri Permai bermula 28 Mei hingga 10 Jun susulan peningkatan kes positif Covid-19.

Iklan
Iklan

Seorang penduduk, Shahrizal Ahmad, 36, mendakwa, setiap penduduk menerima bakul makanan pada 29 Mei lalu, namun hanya dua tin sardin yang boleh dibuat lauk sementara yang lain merupakan makanan kering seperti beras, tepung dan biskut.

Menurutnya, penduduk menghadapi masalah mendapatkan barang basah susulan kedai runcit di bahagian bawah blok ditutup dan tidak dibenarkan beroperasi.

Iklan

"Kami ibarat duduk dalam penjara, kepungan kawat besi dipasang betul-betul di bawah blok. Kami tidak boleh keluar dan hanya bergantung dengan makanan yang diberikan itu.

"Kami dibenarkan membeli secara dalam talian tetapi tidak semua dalam kalangan penduduk tahu membuat tempahan.

Iklan
Barangan asas dalam bakul makanan yang diberikan kepada penduduk.

"Ada satu keluarga yang tidak tahu membuat tempahan secara dalam talian terpaksa memohon bantuan untuk dibelikan barangan kerana sudah kehabisan stok makanan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Katanya, pihak bertanggungjawab diharap dapat memberi perhatian kepada penduduk di 1,400 unit berkenaan yang berasa mereka diabaikan.

Shahrizal memohon supaya penduduk diberi lebih pilihan untuk mendapatkan keperluan.

"Jika tiada yang mahu memberikan sumbangan telur atau barang basah, boleh membenarkan lori yang menjual bahan mentah berniaga di sini untuk penduduk membeli bahan keperluan.

"Nak beli makanan dalam talian hari-hari pun bukan semua orang berkemampuan. Nak beli barang basah pun bukan semuanya tahu, jadi saya harap penduduk diberi lebih pilihan," katanya.