'Total lockdown' tidak jejas Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan

Iklan
Sukarelawan hospital Chih Hong (kanan) membantu menolak kerusi roda seorang warga emas untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Sinovac di Perak Community Specialist Hospital (PCSH), Ipoh hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan tidak terjejas walaupun dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh yang bermula hari ini, kata Pengarah Bersama Pasukan Pengurusan Projek Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF), Datuk Dr Chong Chee Keong.

Beliau berkata, pelaksanaan program itu juga akan dipertingkatkan supaya trend peningkatan kes Covid-19 dapat dilandaikan semula.

Iklan
Iklan

"Penduduk yang perlu merentas daerah untuk janji temu boleh menunjukkan aplikasi MySejahtera sebagai bukti kepada anggota keselamatan yang mengawal sekatan," katanya.

Pada Isnin, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani pada sidang akhbar khas di Bukit Aman, di sini berkata, orang ramai tidak perlu mendapatkan kebenaran polis untuk urusan mendapatkan vaksin Covid-19, sebaliknya hanya perlu menunjukkan maklumat janji temu dalam MySejahtera.

Iklan

Sementara itu, Dr Chong yang juga Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) berkata, bakal penerima vaksin diminta mengekalkan janji temu untuk vaksinasi semasa tempoh Sekatan Pergerakan Penuh, tiada perubahan pada masa dan tarikh ketika sekatan itu dilaksanakan.

Menurut Dr Chong, waktu operasi vaksinasi sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh juga akan berjalan seperti biasa tanpa sebarang perubahan waktu.

Iklan

Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 pada Jumaat lepas memutuskan untuk melaksanakan Sekatan Pergerakan Penuh atau 'total lockdown' sektor sosial dan ekonomi fasa pertama, di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula hari ini.

Jumlah kes baharu Covid-19 yang dilapor pada Selasa adalah 7,105 kes, menjadikan jumlah kumulatif 579,462 kes direkodkan setakat ini.

Setakat Isnin, jumlah keseluruhan pemberian vaksin dos pertama dan kedua di negara ini adalah sebanyak 3,008,429. - Bernama