PENYERANG Manchester United, Mason Greenwood menarik diri dari skuad England ke Euro 2020 selepas mengalami kecederaan, menurut kelab berkenaan.
Pemain berusia 19 tahun itu antara 33 pemain dalam senarai Gareth Southgate yang akan disenarai pendek pengendali berusia 50 tahun itu menjelang saingan berprestij negara Eropah tersebut.
Iklan
Iklan
Greenwood yang melakukan penampilan sulung pada September lalu, tidak akan menyertai kejohanan tersebut selepas United mengesahkan kecederaan tersebut akan memberi impak kepada pemain terbabit.
Produk akademi Manchester United itu telah menjaringkan 12 gol dalam 52 penampilan bersama skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer, dan beraksi selama 100 minit pada aksi final Liga Europa ketika berdepan Villareal minggu lalu.
"Penyerang Manchester United, Mason Greenwood terpaksa menarik diri dari skuad sementara Euro 2020, untuk pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang menyebabkannya disisihkan dari saingan Kejuaraan Eropah Bawah 21 pada Mac lalu.
"Penampilan Mason bersama kelab dikendalikan dengan teliti untuk memastikannya berada pada tahap terbaik mengharungi saingan Liga Perdana Inggeris dan Liga Europa sebelum ini.
"Namun untuk kejohanan seterusnya ia tidak akan memberi manfaat terhadap kecederaan yang sedang dialami. Mason akan tetap berada di Manchester United untuk pulih dan bersiap untuk latihan pra musim," kata kelab berkenaan.