Roslina Aaswira Azmi, 38, berkata, anak sulung beliau, Noraifa Azira Abdul Aziz, 14, menghembuskan nafas terakhir di sisinya serta neneknya, Siti Hawa Osman, 63.
Menurut beliau, anaknya itu sudah seminggu tidak sedarkan diri sejak Rabu lalu dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar selama tiga hari sebelum dibenarkan pulang pada Isnin.
"Semasa pulang ke rumah keadaannya memang masih sama, namun pada Isnin dia ada buka mata sekejap sebelum menutupnya semula.
"Dia meninggal dunia petang ini selepas kami memeriksa pernafasannya, bahkan kaki dan tangannya sudah bertukar kebiruan. Kemudian pasukan perubatan tiba dan mereka sahkan Noraifa sudah tiada," katanya ketika dihubungi media pada Selasa.
Roslina Aaswira memberitahu, keluarganya reda dengan pemergian Noraifa yang menderita kanser otak sejak enam tahun lalu. Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Hijau, Pokok Sena.
Pada 2 Mei lalu, media melaporkan hasrat seorang pesakit kanser otak tahap tiga yang mahu pulang beraya di kampung halamannya di Kampung Bukit Hijau, Mukim Derang, dekat sini direalisasikan dalam satu penerbangan ihsan menggunakan helikopter dari Sekolah Kebangsaan Ulu Melaka, Langkawi.
Usaha tersebut digerakkan oleh aktivis masyarakat, Natipah Abu, 38, itu mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk bilionair yang juga Pengarah Urusan Weststar, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim untuk membantu Noraifa Azira Abdul Aziz, 14.
ARTIKEL BERKAITAN: Pesakit kanser dibawa pulang beraya ke kampung dengan helikopter