MoU untuk benarkan Parlimen bersidang

Iklan
Gesaan sidang Parlimen dibuka semula semakin kuat bergema susulan pelaksanaan proklamasi darurat oleh kerajaan didakwa gagal menangani pandemik Covid-19. Gambar kecil dari kiri: Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin

SHAH ALAM - Sudah tiba masanya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memeterai satu perjanjian persefahaman (MoU) dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membolehkan sidang Parlimen kembali dibuka tanpa perlu menunggu tempoh proklamasi darurat ditamatkan.

Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, kerajaan boleh berbincang dengan Anwar untuk menentukan terma-terma pembukaan semula sidang Parlimen yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Iklan
Iklan

Jelas beliau, perjanjian MoU antara blok kerajaan dan pembangkang sangat penting untuk memastikan sidang Parlimen benar-benar menfokuskan usaha menangani pandemik Covid-19 di samping mengendurkan kebimbangan berlaku usaha politiking.

"Setelah tempoh enam bulan darurat, saya simpulkan pelaksanaannya tidak ada kena-mengena dengan usaha membanteras Covid-19 dan sekadar tindakan politik pihak kerajaan bagi mengelakkan persidangan Parlimen berlangsung seperti biasa.

Iklan

"Sebagaimana dijelaskan Timbalan Speaker Parlimen, Datuk Seri Azalina Othman Said, amalan demokrasi negara tidak boleh dibantutkan oleh alasan Covid-19 dan kerajaan perlu hormati titah Yang di-Pertuan Agong memperkenankan cadangan Parlimen dibuka sepanjang tempoh proklamasi darurat.

"Justeru, solusi terbaik adalah Perdana Menteri perlu berbincang dengan Ketua Pembangkang untuk mewujudkan terma-terma persefahaman bagi membolehkan sidang Parlimen kembali berlangsung tanpa perlu tunggu darurat tamat," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Iklan
Sim Tze Tzin

Ahli Parlimen Bayan Baru itu berkata demikian bagi mengulas gesaan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen kepada kerajaan untuk mendedahkan kriteria penamatan darurat yang sehingga kini tidak dijelaskan secara terperinci.

Dalam satu webinar anjuran bersama pemerhati politik Bersih dan Sinar Harian, Wong Chen turut meminta Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 lebih telus dalam menjalankan peranannya serta tidak berahsia dalam setiap laporan dikeluarkan jawatankuasa itu.

Sebelum ini, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 mengumumkan bahawa ia bersetuju secara konsensus dengan penetapan beberapa kriteria dan nilai ambang (threshold) dalam membuat penilaian berkenaan sama ada proklamasi akan diteruskan atau tidak.

Bagaimanapun, jawatankuasa itu tidak menjelaskan secara terperinci berhubung perkara itu.

Mengulas keberkesanan fungsi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dalam menangani pandemik Covid-19, Tze Tzin yang juga Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) berpandangan rakyat tidak nampak kesungguhan entiti itu mencadangkan pembukaan semula sidang Parlimen.

Ujarnya, penubuhan jawatankuasa khas itu juga dianggap sebagai satu taktik penangguhan (delay tactic) bagi mengelakkan sidang Parlimen berlangsung sepanjang tempoh proklamasi darurat sehingga 1 Ogos hadapan.

"Saya berharap kerajaan dapat menunjukkan keikhlasan untuk membenarkan sidang Parlimen dibuka semula bagi mengembalikan kredibiliti mereka di mata rakyat," katanya.

Cadangan Tze Tzin itu turut disambut positif oleh pakar undang-undang dan perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar.

Katanya, satu bentuk persetujuan antara pihak kerajaan dengan semua parti politik perlu dicapai bagi memberi jaminan tiada sebarang usaha politiking dimainkan mana-mana pihak sepanjang persidangan Parlimen berlangsung kelak.

Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar

"Saya kira gesaan proklamasi darurat ditamatkan lebih terarah kepada keperluan sidang Parlimen dibuka semula seperti biasa.

"Dari sudut undang-undang, tiada masalah proklamasi darurat dilanjutkan, namun pertimbangan pembukaan semula sidang Parlimen perlu diambil kira bagi memastikan kawalan pengurusan Covid-19 lebih telus.

"Langkah terbaik, Perdana Menteri kena buat persetujuan dengan pembangkang bagi memastikan fokus sidang Parlimen benar-benar ke arah menangani isu Covid-19. Kerajaan tidak perlu bimbang kerana rakyat akan menghukum pihak mana tidak ikhlas memenuhi persetujuan dicapai kelak," katanya.

Di sebalik cadangan itu, Khairil mempertahankan keputusan kerajaan melaksanakan proklamasi darurat bagi mengekang pandemik Covid-19.

Beliau menegaskan proklamasi darurat membolehkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dapat dilaksanakan sepenuhnya tanpa kekangan undang-undang.

"Lihat negara seperti Thailand dan Jepun yang terpaksa melanjutkan tempoh darurat bagi menangani Covid-19. Kesangsian pihak menuduh kerajaan peralatkan darurat untuk politik bukan 100 peratus benar, sebaliknya ada justifikasi.

"Perdana Menteri juga sudah berjanji pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan diadakan segera, sejurus selepas pandemik Covid-19 ditangani sepenuhnya. Sepatutnya kenyataan beliau itu adalah jaminan terhadap mereka yang sangsi dengan tindak-tanduk kerajaan," katanya.