Tun M imbau kenangan jadi Menteri Pertahanan

Iklan
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerima cenderahati daripada Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu ketika lawatan rasmi beliau ke Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan, hari ini. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Sempena lawatan rasmi pertamanya ke Kementerian Pertahanan hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut mengimbas kembali pengalamannya ketika bergelar Menteri Pertahanan dari tahun 1981 hingga 1986.

Katanya, cabaran dihadapi Kementerian Pertahanan ketika itu agak berbeza dengan yang dihadapi pada hari ini.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, pada waktu itu ancaman keselamatan paling membimbangkan ialah perang gerila diancarkan Parti Komunis Malaya (PKM) sehingga menggugat usaha-usaha membangunkan negara.

"Anggota-angota keselamatan kita, termasuk dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), terpaksa bertugas di kawasan-kawasan panas untuk mengekang aktiviti keganasan komunis-komunis tersebut.

Iklan

"Selain membabitkan kos tinggi, lebih memedihkan ialah ada anggota-anggota kita tercedera dan terkorban di dalam operasi-operasi tersebut. Kerana kekacauan dari anasir-anasir komunis ini, kegiatan ekonomi, pergerakan dan pembangunan negara turut terjejas," katanya ketika berucap di hadapan warga Kementerian Pertahanan.

Turut hadir, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan timbalannya, Liew Chin Tong serta Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Iklan

Bagaimanapun, katanya, Menteri Pertahanan pada hari ini memikul tanggungjawab lebih berat dalam menghadapi ancaman yang lebih kompleks dan berlaku pada setiap masa di era globalisasi.

"Musuh yang dihadapi tidak kita kenali dan kadang-kadang wujud seperti satu bayangan. Dengan itu, cara pertahanan dan pendekatan diambil juga perlu kita ubah dan sesuaikan dengan keadaan hari ini.

"Ancaman-ancaman juga tidak lagi tertumpu dari dalam negara. Ia datang dari pelbagai sudut dan pihak yang memusuhi kita didorong oleh ideologi dan pegangan berlainan.

"Dalam lain perkataan, globalisasi yang kita kaitkan dengan ekonomi selama ini adalah juga terkait dengan keganasan dan peperangan," katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir dalam sesi soal jawab berkata, ATM perlu meningkatkan kecekapan risikan dalam menghadapi ancaman keganasan.

Sempena lawatan rasmi itu, Perdana Menteri menerima tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) diiringi pancaragam pusat RAMD di Dataran Wisma Pertahanan.

Beliau turut diberikan taklimat oleh Mohamad mengenai bidang fokus utama Kementerian Pertahanan bagi tahun 2019 yang merangkumi Kertas Putih Pertahanan, kebajikan anggota ATM, kesiapsiagaan ATM dan Veteran ATM.