SEORANG wanita ditahan polis selepas mencetuskan kekecohan di dalam pesawat Ryanair dari Ibiza, Sepanyol ke Lapangan Terbang Milan Bergamo, Itali gara-gara enggan memakai pelitup muka.
Dalam rakaman yang tular di media sosial itu, wanita berkenaan dilihat menarik rambut seorang penumpang, menendang seorang lagi dan meludah ke arah penumpang lain sebelum disingkir daripada pesawat berkenaan.
Kekecohan tercetus selepas wanita itu diminta oleh penumpang lain untuk memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakkan sosial.
Dia dilihat terus memarahi penumpang tersebut dan meludah ke arah seorang penumpang lain.
Selepas ditegur oleh anak kapal, wanita itu terus naik berang dan menarik rambut seorang penumpang lain.
Di akhir rakaman video berkenaan, wanita itu dilihat dibawa keluar pesawat berkenaan sebelum menendang seorang penumpang lain.
Dalam satu kenyataan kepada portal berita Newsweek, Ryanair memaklumkan anak kapal penerbangan dari Ibiza ke Milan Bergama pada 26 Mei lepas meminta bantuan pihak polis sebaik mendarat selepas seorang penumpang mencetus kekecohan semasa di udara.
"Pesawat berkenaan mendarat seperti biasa dan pihak polis menahan wanita berkenaan di Lapangan Terbang Milan Bergamo. Perkara ini sekarang diserahkan kepada polis," tambah kenyataan tersebut.
Susulan kejadian, wanita berkenaan meluahkan perasaan tidak puas hati di akaun media sosial Instagram miliknya serta memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang berkongsi video insiden berkenaan. - Astro Awani