Guru tuisyen didakwa sebar berita palsu di bawah Ordinan Darurat

Iklan
Mohd Nazaruddin menjadi antara dua individu pertama di negara ini yang didakwa mengikut Ordinan Darurat.

JOHOR BAHRU - Seorang guru tuisyen menjadi antara dua individu pertama di negara ini didakwa di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 kerana menyebarkan berita palsu berkaitan Covid-19 pada April lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Nazaruddin Yusoff, 50, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman sewaktu didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Rabu.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa telah menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook dengan niat untuk menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam dan mengadakan penerbitan yang mengandungi berita tidak benar dengan memuat naik sekeping gambar ke akaun Facebook yang menggunakan profil 'Mohd Nazaruddin Yusoff'.

Gambar itu memaparkan seorang anggota polis dilihat terbaring dengan beberapa anggota polis memberi bantuan dengan kapsyen 'Mati lagi...di Pontian, vaksin kedua'.

Iklan

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 21 April 2021 pada jam 11.50 pagi di Pejabat Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian.

Dia didakwa telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021.

Iklan

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Sekiranya kesalahan itu berterusan, tertuduh boleh didenda selanjutnya tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Sebaik pengakuan tidak bersalahnya direkodkan, mahkamah menetapkan 7 Julai depan untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.