ALOR SETAR - Meskipun pihak polis sudah mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati, namun rakyat negara ini masih terperangkap dengan jerat sindiket 'Love Scam' apabila seorang guru kerugian RM63,400.
Guru wanita berusia 43 tahun itu diperdaya seorang lelaki yang dikenali sebagai Mohammed Zamzuree berasal dari United Kingdom selepas mereka berkenalan melalui aplikasi Instagram sejak April lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa yang sudah bercerai itu kemudian berhubung dengan suspek melalui WhatsApp.
Menurut beliau, suspek kemudian memaklumkan mahu mengirimkan barangan kepada mangsa seperti beg tangan, kasut, jam tangan, satu set perhiasan dan telefon bimbit.
"Mangsa kemudian menerima panggilan daripada individu yang mengaku sebagai Pegawai Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengatakan terdapat barangan yang dikirim daripada suspek dan meminta mangsa membuat bayaran cukai serta denda bagi melepaskan barangan tersebut.
"Atas dasar percaya dan keterujaan melampau, mangsa yang berasal dari Sik telah membuat pemindahan wang dalam talian dan deposit tunai ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek pada Mei lalu.
"Mangsa melakukan sebanyak tujuh transaksi berjumlah RM63,440 dan kesemua wang tersebut adalah simpanannya sendiri," ujar beliau.
Mangsa bagaimanapun menyedari penipuan itu setelah dia menceritakan perkara sebenar kepada adiknya.
"Mangsa kemudian membuat laporan polis di Kuala Nerang pada Isnin lalu dan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
"Sehubungan itu, kami ingin menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan 'Love Scam' ini.
"Jangan sesekali mudah percaya pujuk rayu daripada seseorang yang hanya dikenali melalui media sosial dan tidak membuat sebarang pindahan wang kepada sesiapa pun terutama kepada mereka yang anda tidak pernah berjumpa," katanya.