SEMENYIH - Seorang bekas tentera yang videonya ‘mengamuk’ di hadapan pejabat Parti Sosialis Malaysia (PSM) tular baru-baru ini terus meluahkan rasa tidak puas hati dengan kepimpinan kerajaan baik yang dahulu mahupun sekarang.
Kali ini, Raja Mohd Yusof Raja Othman, 82, meluahkan amarahnya di hadapan calon Bebas, Kuan Chee Heng yang melawat rumah lelaki berkenaan di Kampung Sentosa, di sini, malam semalam.
Menurut bekas tentera itu, baik PH atau BN, kedua-duanya sama sahaja dan menegaskan dia memilih untuk mengundi calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam PRK DUN Semenyih.
"Sekarang saya tanya, BN itu apa? Apa nama sebenar BN?,” soalnya.
Kemudian, beberapa lelaki menjawab soalannya mengatakan BN adalah ‘Barang Naik’ dan Barisan Nasional.
"Bukan, BN itu ‘Buaya Naga’. PSM itu apa? Parti Sosialis Malaysia? Bukan.
"Parti Selamatkan Melayu, Parti Selamatkan Malaysia,” ujarnya yang lengkap berbaju Melayu ketika dikunjungi rombongan Chee Heng.
Video lelaki tersebut tular selepas sebuah portal menyiarkan rakamannya ‘mengamuk’ dan mengeluarkan kenyataan kurang enak di pekan Semenyih, beberapa hari lepas.
Dalam pertemuan hampir 30 minit itu, warga emas tersebut turut mengeluarkan beberapa fail dalam simpanannya, kebanyakannya berkisar kisah politik negara.