SHAH ALAM - Perkhidmatan kaunter pejabat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) negeri dan cawangan di seluruh negara ditutup mulai 1 Jun 2021 sehingga 14 Jun 2021.
PTPTN berkata, penutupan itu adalah selaras dengan pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari mulai 1 Jun 2021 hingga 14 Jun 2021 seperti yang diumumkan oleh kerajaan.
Menurutnya, PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa prihatin dan peka serta mengambil berat terhadap keperluan pelanggan.
"Bagi meneruskan perkhidmatan dan juga memudahkan urusan semua pelanggan, PTPTN telah menyediakan kemudahan perkhidmatan yang lebih selamat dan cepat iaitu perkhidmatan secara dalam talian (online) melalui portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my bagi urusan permohonan pinjaman, bayaran balik pinjaman, pembukaan akaun atau penambahan deposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
"PTPTN turut memberi kelonggaran dan pemanjangan tempoh bagi penghantaran Dokumen Tawaran dan Perjanjian Pinjaman PTPTN. Dokumen bagi kelulusan baharu bertarikh 7 Mei 2021 dilanjutkan tempoh penghantaran sehingga 28 Jun 2021,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
PTPTN berkata, bagi peminjam yang telah diluluskan pertukaran Ujrah mulai Mei 2021 dan penstrukturan semula pinjaman bulan Jun 2021 boleh membuat penghantaran dokumen selewat-lewatnya pada 30 Jun 2021.
"Pelanggan PTPTN juga boleh menghubungi PTPTN melalui Perkhidmatan Live Chat PTPTN yang beroperasi pada setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 9 pagi hingga 5 petang,” katanya.
Pelanggan juga boleh menggunakan saluran eAduan melalui Portal Rasmi PTPTN (https://eaduan.ptptn.gov.my) atau Media Sosial Rasmi PTPTN (Facebook/Twitter/Instagram) atau menghubungi Eksekutif Pemasaran PTPTN di seluruh negara melalui nombor telefon yang dipaparkan di Portal Rasmi PTPTN (https://www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn).
Talian Careline PTPTN di 03-2193 3000 juga terus kekal beroperasi pada setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 9 pagi hingga 5 petang.