Industri berasaskan kayu catat prestasi kukuh

Iklan
Jumlah eksport sektor berasaskan kayu merekodkan prestasi kukuh di suku pertama 2021 iaitu meningkat 9.9 peratus kepada RM6.04 bilion. - Gambar hiasan 123RF Gambar kecil: Muhtar Suhaili

SHAH ALAM - Jumlah eksport sektor berasaskan kayu merekodkan prestasi kukuh di suku pertama 2021 iaitu meningkat 9.9 peratus kepada RM6.04 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas meskipun negara masih berdepan dengan krisis pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC), Muhtar Suhaili berkata, tiga pasaran utama negara ke Eropah, Amerika dan Oceania menunjukkan pertumbuhan eksport yang menggalakkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pasaran eksport ke Eropah mencatat pemulihan yang memberangsangkan, jumlah eksport ke pasaran ketiga terbesar ini meningkat 9.9 peratus kepada RM561.2 juta.

"Ini berikutan peningkatan permintaan produk dan perabot kayu DIY daripada golongan yang bekerja dari rumah dan pembelian yang lebih dari kebiasaan disebabkan kebimbangan pengimport akan kekurangan bekalan dan kenaikan harga.

Iklan

"Tiga produk utama ke pasaran tersebut adalah perabot kayu (RM242.9 juta), produk kayu tanggam (RM96.5 juta) dan kayu gergaji (RM73.9 juta),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Muhtar berkata, eksport ke benua Amerika, pasaran terbesar negara melonjak 46.9 peratus kepada RM2.44 bilion.

Iklan

"Amerika Syarikat (AS) adalah penyumbang utama di pasaran ini dengan pembelian lebih daripada 60 peratus daripada eksport perabot kayu negara dan meningkat 47.1 peratus kepada RM1.93 bilion.

"Pertumbuhan positif ini adalah disebabkan pakej rangsangan ekonomi di negara tersebut bagi mengurangkan beban individu dan perniagaan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 serta pergeseran perdagangan antara AS dengan China yang secara tidak langsung membuka peluang perniagaan kepada negara-negara ASEAN termasuk Malaysia.

"Eksport ke pasaran Oceania seperti Australia dan New Zealand turut merekodkan peningkatan 19 peratus kepada RM297.7 juta,” katanya.

Beliau berkata, eksport ke pasaran Afrika dan Asia masing-masing mengalami penurunan 5.1 peratus dan 11 peratus kepada RM91.8 juta dan RM2.66 bilion.

"Nilai eksport ke pasaran Asia Barat menyusut 35.3 peratus, Asia Timur 6.8 peratus dan Asia Selatan 8.1 peratus,” katanya.

Muhtar berkata, pelbagai usaha terus dijalankan oleh MTC bagi membantu syarikat berasaskan kayu mengekalkan kelangsungan perniagaan.

"Antaranya, program menggalakkan industri ke arah pendigitalan dan e-platform serta membuka peluang perniagaan menerusi webinar, dialog maya dan sesi padanan perniagaan (B2B) secara dalam talian.

"Pada tahun ini, MTC telah menganjurkan lapan webinar mengenai pemasaran digital dengan penyertaan lebih 560 peserta dan satu webinar tentang peluang perolehan sumber bahan mentah import sebagai alternatif ke arah mewujudkan produk nilai tambah yang lebih tinggi," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, MTC juga menawarkan beberapa program baharu seperti Young Entrepreneur Society (YES), Program Penempatan Jurutera dan Latihan Pra-Siswazah dalam Industri Kayu Kayan 2021 (EPIP), TimbeReality, Program Inkubator Reka Bentuk (DIP) dan Program Keusahawanan Pemasaran Digital (DMEP), Program Bantuan Eksport (EAP)

"MTC berharap insentif serta program yang ditawarkan oleh kami dapat membantu pemain industri meningkatkan lagi produktiviti mereka untuk menghasilkan produk kayu yang bernilai tinggi demi kelangsungan perniagaan dan ekonomi negara,” katanya.