JAWA - Hanya sekadar gurauan melangsungkan praktikal majlis akad nikah sewaktu di bangku sekolah, siapa sangka pasangan itu akhirnya sah dan selamat melangsungkan perkahwinan pada 28 Mei lalu di Sidoarjo, Jawa Timur, Indonesia.
Dinda Rizky Ramadhani, dan suaminya, Mustofa Agung Wicaksana masing-masing berusia 20 tahun menjadi perhatian warganet setelah rakaman video perkahwinan mereka tular di aplikasi TikTok hingga meraih lebih 3.2 juta tontonan sejak dimuat naik pada Isnin, lapor Tribunnews.
Kata Dinda, ketika di zaman persekolahan mereka telah bercinta namun terputus hubungan setelah tamat sekolah menengah.
"Mungkin sekitar lima bulan kami berpisah, namun akhirnya bertemu semula sebelum suami melamar saya dan kini sah menjadi suami isteri pada 28 Mei lalu.
"Ramai rakan-rakan sekelas tidak menyangka kami berkahwin dan mereka juga kata kalau sudah jodoh tidak ke mana," katanya.
Dia juga tidak menyangka kisah cintanya tular dan menjadi bualan hangat warganet.
"Pada mulanya agak terkejut bila video itu tular kerana saya tidak memuat naik video di TikTok, kemudian baru saya tahu rupanya rakan saya yang tularkan," katanya.
Mengimbau kembali kenangan zaman persekolahan, Dinda mengatakan kejadian itu berlaku tahun 2019 di mana mereka perlu menjalani ujian praktikal berkaitan dengan ijab qabul.
"Saya dan suami satu kelas dan memandangkan waktu itu kami bercinta, rakan sekelas memilih kami untuk menjadi pengantin perempuan dan lelaki.
"Tetapi sejujurnya saya tidak menyangka, upacara akad nikah yang hanya sekadar gurauan di bangku sekolah akhirnya menjadi realiti," ujarnya sambil melahirkan rasa syukur.