SHAH ALAM - Isi masa lapang ketika tempoh sekatan pergerakan penuh ini dengan merawat hati dengan bertasbih dan beristighfar mengingati Allah, dengan mengimarah suasana di rumah bagi mendidik hati menjadi lebih tenang.
Itu antara objektif utama program ‘Lockdown, Hidupkan Mihrab di Rumah’, sebuah program berbentuk Islamik terbaharu anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), sebagai platform untuk masyarakat berhimpun di media sosial, bersama-sama mengingati Allah, mengaji Al-Quran disamping dapat berkenal-kenalan dengan rakan-rakan baharu.
Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, cetusan program ini bermula apabila pihaknya melihat keadaan masyarakat yang kini agak sensitif dengan situasi Covid-19 ditambah dengan kos sara hidup semakin meningkat, yang mendorong pihaknya untuk tampil dengan platform baharu bagi mendidik hati mereka dengan tasbih serta zikir.
"Keadaan suasana masyarakat yang dilihat mudah marah. Kita kalau boleh nak tukar suasana itu, biar kita dapat jalani ‘lockdown’ kita dalam keadaan yang baik di samping berebut-rebut mendapat pahala dengan mengimarahkan suasana keluarga di rumah,” katanya ketika dihubungi.
Marhaini berkata, program Tick Talk TV bawah selian WUIF bersama rakan sinergi Sinar Harian mengajak masyarakat bersama-sama dalam ‘Misi 14 Hari Sebarkan Kebaikan’ telah berlangsung bermula semalam sehingga 14 Jun ini, dengan setiap hari akan 'disajikan’ tema berlainan yang terkandung dalam al-Quran.
"Melalui enam slot tayangan setiap hari itu kita bahagikan tiga gelombang iaitu pada pagi, petang dan malam bermula 7.30 hingga 8.00 malam. Untuk sesi pagi serta petang kita akan bertasbih, berzikir serta akan menerangkan pada penonton apa yang akan kita pelajari dan pada malamnya kita akan membaca al-Quran bersama-sama dan mendengar tazkirah.
"Di samping itu juga kita mengajak masyarakat untuk menyertai komuniti Lockdown Buddies ini di Telegram iaitu di https://t.me/LOCKDOWNBUDDIES - di situ kita akan maklumkan program yang akan dilaksanakan di samping dapat berkenal-kenalan dengan sahabat baru,” katanya.
Program Lockdown Hidupkan Mihrab di Rumah dapat ditonton di YouTube dan Facebook Tic Talk TV. - Bernama