SHAH ALAM - Peruncit perkakas rumah, MR D.I.Y. menghasilkan filem web ‘Kerana Azman’ telah meraih sambutan menggalakkan daripada rakyat Malaysia dengan memperoleh 2,780 perkongsian di media sosial.
MR D.I.Y berkata, di bawah kempen ‘You Share, We Donate’, jumlah perkongsian yang diterima dari 30 April hingga 17 Mei 2021 telah ditukarkan sebagai sumbangan berjumlah RM2,780 yang disalurkan oleh MR D.I.Y kepada Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD).
Menurutnya, iklan berdurasi empat minit tersebut diinspirasikan daripada kisah seorang kanak-kanak lelaki bernama Azman yang pekak dan bisu dan ia boleh ditonton di laman Facebook MR D.I.Y. sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
"Walaupun Azman pekak dan bisu, dia telah mengumpul dan menjual barangan yang boleh dikitar semula.
"Hasil jualan itu digunakan untuk untuk membeli makanan untuk diberikan kepada golongan yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sementara itu, Naib Presiden Pemasaran, MR D.I.Y. Group, Andy Chin berkata, ini merupakan tahun ketiga MR D.I.Y. menggabungkan unsur tanggungjawab sosial korporat ke dalam filem web bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia mengingati komuniti yang kurang bernasib baik semasa musim perayaan ini.
"Ia sudah menjadi tradisi kami untuk menghasilkan kisah yang bermakna seperti ‘Kerana Azman’ yang berkait rapat dengan komuniti yang kurang bernasib baik supaya mereka tidak dilupakan dan diabaikan,” katanya.
Sebelum ini, MR D.I.Y. telah menghasilkan dua iklan semasa perayaan Tahun Baharu Cina dan Krismas pada tahun 2020 di bawah kempen 'You Share, We Donate'.
Kedua-dua inisiatif tersebut masing-masing meraih sejumlah RM7,130 dan RM4,220 untuk Green Pastures Senior Life Home dan Malaysia Relief Agency (MRA).
Iklan ‘Kerana Azman’ boleh ditonton di pautan http://bitly.com/IklanRayaKeranaAzman.