PORT DICKSON - Penduduk di Port Dickson diingatkan tidak mengambil kesempatan untuk bersantai di kawasan pantai sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh fasa pertama.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, jika ada yang berbuat demikian, polis akan menasihatkan mereka untuk beredar dan jika didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) maka kompaun akan dikeluarkan.
Menurutnya, dalam tempoh 21 sehingga 31 Mei lalu (Isnin), sebanyak 14 kompaun dikeluarkan terhadap individu yang didapati melanggar SOP di kawasan pantai.
"Kebanyakan daripada mereka adalah pasangan kekasih yang datang secara berkumpulan.
"Antara kesalahan dilakukan ialah tidak memakai pelitup muka dan tiada surat kebenaran merentas daerah dan negeri untuk berada di kawasan Port Dickson," katanya pada sidang akhbar selepas membuat tinjauan di pasar raya TF Value Mart di PD Waterfront di sini pada Rabu.
Bagaimanapun katanya, secara keseluruhan pemantauan pihaknya di sekitar Pantai Port Dickson mendapati tiada pengunjung yang datang dan keadaan terkawal.
Ujarnya, dalam tempoh ini orang ramai perlu menghadkan pergerakan hanya keluar untuk membeli barangan keperluan, pergi bekerja atau urusan penting sahaja.
Selain itu katanya, pada Selasa, sebanyak 14 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tidak memakai pelitup muka dan tidak membuat imbasan di QR kod MySejahtera.
"Sudah lebih setahun kita laksanakan PKP, tapi masih ada yang segelintir individu yang ambil sikap sambil lewa dan tidak mematuhi SOP ditetapkan.
"Bagi kesalahan tidak memakai pelitup muka dengan alasan terlupa dan tertinggal di dalam kereta, bagi saya itu adalah alasan tak munasabah," katanya.