KUALA LUMPUR - Aliran trafik di Plaza Tol Jalan Duta di sini pada hari pertama Sekatan Pergerakan Penuh yang bermula Selasa mencatatkan penurunan sebanyak 66 peratus.
Timbalan Pengarah (I) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, pemantauan berterusan pihak JSPT mendapati tiada sebarang kesesakan dikesan di semua sektor lebuh raya dan sekatan jalan raya selepas Sekatan Pergerakan Penuh dilaksanakan.
Iklan
Iklan
Sementara itu beliau memberitahu, kesesakan lalu lintas di Plaza Tol Jalan Duta sebagaimana video tular di media sosial sebelum ini disahkan berlaku sehari sebelum Sekatan Pergerakan Penuh dilaksanakan berikutan pemeriksaan teliti pihak polis.
Ia sekali gus menolak dakwaan bahawa kesesakan terbabit kononnya kerana orang ramai mahu pulang ke kampung.
Sehubungan itu, pihaknya turut menggesa orang ramai untuk menghentikan sebarang penyebaran mesej tidak benar.
"Pastikan kesahihan mesej tersebut sebelum dimuat naik atau dikongsi di media sosial dan sebagainya," katanya.