JOHOR BAHRU - Polis Diraja Malaysia telah meningkatkan bilangan sekatan jalan raya ( SJR) di negeri ini kepada 62 lokasi sepanjang tempoh pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh yang bermula Selasa.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, jumlah SJR itu bertambah berbanding 53 lokasi sebelum ini.
"Sehingga kini seramai 669 anggota polis yang ditempatkan di lokasi SJR yang menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara menyeluruh terutama bagi kebenaran merentas daerah dan negeri.
"Bagi memastikan kelancaran di SJR, seramai 342 anggota lain-lain agensi membantu terutama Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela)," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Menurut Ayob Khan, selain SJR, pasukan memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) turut ditambah kepada 273 pasukan berbanding hanya 267 sebelum ini.
"Seramai 1,092 anggota terlibat dengan pasukan pemantauan pematuhan ini dan bagi pasukan 'snap check' pula seramai 506 anggota.
"Orang ramai diingatkan supaya sentiasa patuh kepada SOP Sekatan Pergerakan Penuh," katanya.
Sementara itu tinjauan dilakukan di SJR di Pekan Nanas bagi laluan dari arah Johor Bahru mendapati, keadaan terkawal dengan setiap pemandu kenderaan dilihat mematuhi SOP.
Anggota polis dan Rela turut memeriksa surat kebenaran merentas daerah dan dokumen berkaitan daripada pemandu kenderaan sebelum membenarkan mereka meneruskan perjalanan.
Kenderaan berat lori dan treler dilihat lebih banyak melalui SJR di Pekan Nanas berbanding kereta dan motosikal.