Unit bergerak vaksinasi kurangkan kerenah birokrasi

Iklan
Unit Bergerak Vaksinasi daerah Padang Terap telah turun ke Rumah Orang Tua Jagaan Islam di Kampung Padang Nyior untuk memberikan vaksin kepada warga emas pada Rabu.

KUALA NERANG - Unit Bergerak Vaksinasi Covid-19 daerah Padang Terap yang dilancarkan pada Selasa adalah menyambut seruan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengurangkan kerenah birokrasi untuk membantu rakyat.

Pegawai Daerah Padang Terap, Datuk Md Shuhaime Abdul Rahman berkata, usaha ini adalah kali pertama dilakukan di negara dan negeri ini bagi membantu warga emas mendapatkan suntikan vaksin secepat mungkin.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pihaknya turut mengharapkan agar Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dapat mengagihkan lebih banyak lagi vaksin bagi membantu memberikan suntikan kepada lebih ramai individu di kawasan luar bandar.

"Sasaran kita adalah untuk memberikan vaksinasi kepada kira-kira 3,000 warga emas di daerah Padang Terap berdasarkan data yang kita ada.

Iklan

"Selain itu, taburan penduduk di daerah ini yang menyeluruh dan ada dalam kalangan mereka tinggal jauh dari Pusat Pemberian Vaksin (PPV) menyebabkan unit bergerak vaksinasi ini diwujudkan," katanya pada sidang akhbar selepas meninjau program unit bergerak vaksinasi di Pusat Jagaan Rumah Orang Tua Bukit Bethel, dekat sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Md Shuhaime berkata, kira-kira 200 warga emas akan disuntik setiap minggu dan beliau mengharapkan penduduk setempat dapat memberikan kerjasama kepada unit bergerak tersebut sebaik mungkin.

Iklan

"Selepas semua warga emas di daerah ini selesai divaksinkan kita akan cuba memberikan tumpuan kepada golongan muda pula," katanya yang menjadikan Rumah Orang Tua Jagaan Islam di Kampung Padang Nyior sebagai lokasi pertama program unit bergerak vaksinasi.

Sementara itu, penghuni Pusat Jagaan Rumah Orang Tua Bukit Bethel, Low Kim Moi, 71 berkata, dia bersemangat untuk menerima vaksin malah tidak merasa apa-apa perubahan selepas disuntik.

Menurutnya, dia amat berterima kasih kepada unit bergerak vaksinasi yang sanggup datang ke pusat jagaan tersebut dan memberikan vaksinasi kepada 15 penghuni yang kebanyakkannya sudah uzur dan mempunyai pelbagai masalah kesihatan.

"Terima kasih kerana datang ke sini dan memudahkan urusan kami. Jadi kami tidak perlu ke PPV untuk mendapatkan suntikan vaksin," katanya.