KOTA BHARU - Seramai 132 individu telah menerima suntikan vaksin Covid-19 secara pandu lalu di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini yang merupakan perintis kaedah berkenaan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Penerima terdiri daripada petugas kesihatan barisan hadapan dan pesakit yang berdaftar dengan HUSM.
Pengarah HUSM, Profesor Datuk Dr Ahmad Sukari Halim berkata, suntikan vaksin Covid-19 secara sistem pandu lalu dilakukan melalui dua fasa iaitu fasa pertama bermula 22 Mac lalu manakala fasa kedua bermula pada 25 Mei lalu.
Katanya, fasa pertama membabitkan 123 petugas kesihatan barisan hadapan hospital itu manakala fasa kedua sembilan penerima dos kedua vaksin terdiri daripada petugas kesihatan dan pesakit yang berdaftar dengan HUSM.
"Mereka yang menepati kriteria ditetapkan oleh Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan dinilai doktor sahaja layak menerima suntikan vaksin secara pandu lalu menerusi tarikh janji temu di aplikasi MySejahtera.
"Penerima dalam kalangan yang sedang bergejala atau baru kembali daripada tugasan di luar negeri Kelantan atau kawasan-kawasan berisiko,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sukari berkata, kaedah itu bertujuan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 kepada orang lain di PPV yang mula beroperasi pada 1 Mac 2021 dengan memberi suntikan vaksin Covid-19 fasa pertama kepada petugas barisan hadapan HUSM serta warga kerja Kampus Kesihatan USM yang berkeperluan.
Tambahnya, kini HUSM dipertanggungjawab sebagai Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV) bermula pada 25 Mei (fasa 2) yang memberikan suntikan vaksin kepada pesakit berdaftar HUSM serta pesakit yang dirujuk oleh PPV Komuniti.
"Golongan pesakit yang menerima vaksin berusia 18 tahun ke atas dan lebih ramai berusia 60 tahun ke atas selain mempunyai penyakit kronik serta berisiko tinggi sekiranya diberi vaksin di PPV Komuniti,” katanya.
"Pendaftaran vaksin boleh dibuat dengan perawat (doktor) di mana-mana klinik di HUSM dan panggilan temujanji suntikan akan dipaparkan menerusi aplikasi MySejahtera penerima,” katanya.