PUTRAJAYA - Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan kabinet berperanan menyelaraskan badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan ke Palestin.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, jawatankuasa yang dipengerusikan beliau bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berperanan membuat semakan latar belakang NGO sebelum dibenarkan untuk membuat permohonan.
Iklan
Iklan
Menurut beliau, jawatankuasa itu juga akan mengkoordinasikan semua NGO di bawah satu prosedur operasi standard (SOP) permohonan yang sama.
"Jawatankuasa ini bakal memudahkan permohonan NGO sekiranya SOP dipenuhi.
"Dengan ketetapan ini, setiap NGO yang mahu melaksanakan misi bantuan kemanusiaan ke Palestin hendaklah membuat permohonan melalui dua kementerian yang mempengerusikan Jawatankuasa Khas ini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, kabinet turut bersetuju agar Kementerian Luar Negeri (KLN) membantu mempermudahkan perjalanan NGO ke Palestin selepas permohonan diluluskan.
"Buat masa ini, NGO dinasihati agar melakukan perjalanan ke Palestin melalui dua negara iaitu Mesir dan Jordan," katanya.