SABAK BERNAM - Kerajaan Selangor membelanjakan lebih RM200 juta membabitkan keperluan sejuta penduduk di negeri ini bagi tujuan pembelian vaksin Covid-19.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, proses pembelian vaksin sedang berjalan dan dijangka akan dimuktamadkan minggu depan.
Iklan
Iklan
"Saya percaya (perbincangan pembelian vaksin) di peringkat akhir dan minggu depan kita sudah boleh mengesahkan proses tersebut," katanya pada Program Agihan Bakul Makanan PKPS prihatin di Taman Pertama di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, program vaksinasi Selangor itu nanti akan digerakkan Selcare dan Selgate Corporation sebagai usaha kerajaan negeri bagi menampung keperluan dan mempercepatkan usaha kerajaan Persekutuan dalam proses pemberian vaksin.
Katanya, tumpuan itu juga nanti akan terarah kepada fasa kedua iaitu membabitkan kelompok warga emas dan mereka yang berisiko tinggi.
"Kerajaan Persekutuan sudah melaksanakan suntikan mengikut senarai keutamaan, manakala kita (kerajaan Selangor) pula akan laksanakan dalam kelompok lebih besar selain tumpuan juga menjurus kepada sektor ekonomi.
"Dengan cara tersebut, sektor eknomi akan dapat berjalan dan kita dapat mengawal penularan sekali gus mengurangkan kes Covid-19," katanya.