SHAH ALAM – Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mendakwa laman Facebook yang memfitnahnya membabitkan isu pajakan dan penjualan tanah milik Lembaga Getah Malaysia (LGM) adalah mesra terhadap sebahagian pimpinan UMNO.
Beliau turut mendakwa, sebahagian pimpinan UMNO juga sedang bersemangat untuk turut menyerangnya mengenai perkara terbabit.
"Namun, ia tidak menghalang saya untuk terus memperkasakan Muafakat Nasional (MN) demi kepentingan ummah.
"Hubungan baik yang terjalin dengan pimpinan UMNO juga tidak terjejas,” katanya menerusi tulisan di Facebooknya pada Selasa.
Pada 27 Mei lalu, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendedahkan beberapa surat rasmi bertarikh 18 Disember, 6 Januari dan 11 Mac yang didakwa berkaitan tanah milik LGM dan penglibatan Khairuddin dalam skandal tanah itu.
Khairuddin didakwa meluluskan pajakan tanah di Lot 20013 Jalan Ampang kepada Al-Noor Foundation pada harga 70 sen sekaki persegi berbanding harga pasaran RM2.50 sekaki untuk tempoh 15+10 tahun dengan kenaikan kadar pajakan 10 peratus setiap lima tahun.
Dakwaan kedua membabitkan Lot 20012 di Jalan Ampang seluas 8.89 ekar yang dicadang dijual kepada Eurowhite Sdn Bhd pada harga RM1,032.92 sekaki, sedangkan harga pasaran sekitar RM1,400 sekaki.
Dakwaan itu disokong bekas pengerusi LGM, Datuk Ahmad Nazlan Idris berhubung campur tangan Khairuddin dalam skandal tanah agensi itu.
Dalam perkembangan berasingan, Khairuddin berkata, kenyataan media bagi menjelaskan fakta dan laporan polis telah dibuat oleh LGM dan LGM Properties Corporation (LGMPC).
"Pada masa yang sama barisan peguam telah mengeluarkan notis tuntutan guaman kepada pihak terbabit,” katanya.
Khairuddin berkata, beliau turut mengarahkan LGM, LGMPC dan pihak kementerian memberi kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melakukan siasatan sewajarnya.
"Arahan itu selaras dengan nilai integriti dan ketelusan yang selalu saya tekankan kepada semua pegawai di kementerian dan agensi di bawahnya,” katanya.