Lockdown di Melbourne dilanjutkan lagi

Iklan
Suasana lengang akibat perintah lockdown di sebuah kawasan di Melbourne, Australia. - Foto Xinhua

MELBOURNE - Pelaksanaan lockdown di bandar raya kedua terbesar di Australia iaitu Melbourne akan dilanjutkan selama tujuh hari lagi, kata pihak berkuasa negeri Victoria pada Rabu.

Menurut AFP, sepatutnya, lockdown itu berakhir sebelum tengah malam Khamis ini tetapi seramai lima juta penduduk di bandar raya berkenaan diarahkan kekal berada di rumah masing-masing bagi mengelakkan mereka dijangkiti virus Covid-19.

Iklan
Iklan

Pemangku Ketua Menteri negeri Victoria, James Merlino berkata, langkah lockdown itu perlu dilaksanakan bagi mengelak penduduk Melbourne mati akibat pandemik tersebut selepas pihak berkuasa negeri tersebut menemui varian Covid-19 yang didapati lebih cepat tersebar dan berbahaya.

Penularan terbaharu pandemik itu bermula apabila seorang pengembara yang dijangkiti dengan varian Kappa dari India telah kembali ke Australia.

Iklan

Ribuan kontak rapat pengembara tersebut kemudian telah dikenal pasti termasuk senarai yang dikunjungi oleh 60 orang yang dijangkiti varian tersebut sebelum meningkat kepada 350 kes baharu.

Bagaimanapun, Merlino berkata, arahan penduduk di luar Melbourne supaya mereka tinggal di dalam rumah masing-masing kemungkinan akan ditarik balik seperti yang dirancang sebelum ini.

Iklan

Lockdown itu adalah yang keempat dilaksanakan di Melbourne sejak permulaan pandemik tersebut.

Sehingga kini, Australia yang didiami oleh 25 juta penduduk merekodkan lebih 30,000 kes Covid-19 dengan mencatatkan lebih 900 kematian. - Agensi