Sedia bas bawa petugas kesihatan di kawasan PKPD

Iklan
Amirudin menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penduduk pada Program Agihan Bakul Makanan PKPS prihatin di Taman Pertama di sini pada Rabu.

SABAK BERNAM - Kira-kira 70 petugas kesihatan di tiga kawasan taman perumahan di daerah Sabak Bernam yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) diangkut menaiki bas khas untuk ke tempat kerja masing-masing.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kebanyakan petugas barisan hadapan itu bekerja di hospital dan klinik kesihatan di sekitar daerah Sabak Bernam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, terdapat sebuah bas yang akan digunakan bagi mengangkut petugas kesihatan di satu tempat yang telah ditetapkan.

"Kita siapkan sebuah bas khas yang mengangkut mereka ini keluar dan masuk, selain pada masa sama memastikan kakitangan hospital juga mencukupi bagi memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik," katanya pada Program Agihan Bakul Makanan PKPS prihatin di Taman Pertama di sini pada Rabu.

Iklan

Amirudin berkata, petugas klinik kesihatan dan hospital juga bekerja mengikut giliran bagi memastikan jadual perjalanan bas lebih seiring.

"Kita terpaksa kekalkan mereka di kawasan PKPD kerana tiada asrama penempatan dan semua ini dilaksanakan untuk memastikan kawalan pergerakan dapat dilakukan," ujarnya.

Iklan

Dalam pada itu, beliau berkata, ada sebahagian petugas kesihatan juga bekerja di pusat saringan di kawasan PKPD berkenaan.

Selain petugas kesihatan, katanya, turut mendiami taman perumahan di kawasan PKPD itu adalah anggota keselamatan.

"Sekiranya penduduk terdiri dalam kalangan anggota polis, mereka juga menjaga laluan Sekatan Jalan Raya (SJR) di kawasan PKPD ini," katanya.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan, tiga taman perumahan di daerah Sabak Bernam dikenakan PKPD mulai Ahad hingga 12 Jun.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sabak Bernam, Amri Ismail berkata, tiga taman itu ialah Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima.