BINTANG sensasi Belgium, Eden Hazard mengakui dia dalam mood bersiap sedia, namun tidak dapat memastikannya berada pada tahap kecergasan terbaik menjelang aksi pembukaan Euro 2020.
Menurut Hazard, secara mental dia sudah bersedia mengharungi saingan berprestij bola sepak negara Eropah berkenaan, namun secara fizikal dia masih samar setelah dibelenggu kecederaan sepanjang musim ini.
"Sejujurnya, ini merupakan musim mencabar dalam karier bola sepak profesional saya. Cumanya proses kembali ke prestasi sebenar mengambil masa dengan bantuan pegawai perubatan.
"Saya terpaksa melupakan aksi terakhir liga bersama Real Madrid sebelum ini, namun positifnya saya boleh fokus kepada mengembalikan kecergasan saya.
"Saya akan melihat kepada prestasi harian semasa latihan pada setiap hari sebelum Euro, Saya mempunyai sedikit masa sebelum perlawanan pertama Belgium dan saya mahu bersedia untuk perlawanan itu," kata kapten Belgium tersebut.
Bekas tonggak Lille dan Chelsea berusia 30 tahun sebelum ini beraksi berasingan dengan skuad utama Real Madrid setelah mengalami kecederaan bahagian tumit, mempunyai 106 kap bersama Belgium sejak 2019.
Belgium, yang berada di kedudukan teratas ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA, akan memulakan kempen Euro menentang Rusia di St Petersburg pada 12 Jun.
Pada masa mengenai kariernya di Real Madrid, Hazard berkata, dia akan kekal di Real Madrid musim depan walaupun tanpa kelibat Zinedine Zidane.
"Tiada keperluan untuk meninggalkan kelab hebat ini kerana kontrak masih ada tiga tahun lagi, saya akui bahawa tahun pertama teruk kerana kecederaan.
"Saya bersedia untuk bermain dan cergas sepenuhnya kerana yakin dapat melakukan banyak perkara untuk Real Madrid. Selepas Euro, rancangan saya adalah melakukan segalanya untuk kelab ini," katanya.