Rafiq resah 18 bulan tanpa pertandingan

Iklan
Rafiq kali terakhir beraksi pada Sukan SEA 2019 di Manila.

18 bulan dan tempoh masa itu masih berterusan. Itulah tempoh paling lama bagi pemain boling negara, Muhamad Rafiq Ismail tidak menyertai mana-mana kejohanan boling.

Kali terakhir Rafiq beraksi di pentas kompetitif ketika dia memenangi pingat emas dalam acara berpasukan dan gangsa bagi acara berpasangan dengan Tun Hakim Tun Hasnul Aza pada Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.

Iklan
Iklan

Rafiq mengakui risau susulan kekurangan penyertaan dalam kejohanan masa kini, namun seperti atlet lain, tiada apa yang boleh dilakukannya kecuali berada di rumah pada waktu penuh mencabar ini.

Dengan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh bermula 1 hingga 14 Jun dalam usaha mengekang penularan pandemik Covid-19 di seluruh negara, juara dunia perseorangan lelaki 2018 itu, tidak dapat lakukan apa-apa kecuali mematuhi sepenuhnya arahan itu dan melakukan latihan di rumah.

Iklan

"Tiada latihan boling masa ini dan apatah lagi sertai kejohanan kali terakhir saya membaling bola boling saya kira-kira seminggu sebelum Aidilfitri dalam sesi latihan di Sunway Mega Lanes.

"Saya tiada pilihan lain, saya hanya fokuskan kepada latihan senaman secara dalam talian dikendalikan pegawai daripada Majlis Sukan Negara (MSN) pada hari-hari biasa,” katanya baru-baru ini.

Iklan

Selain daripada sesi senaman termasuk latihan teras dan kecergasan, Rafiq berkata, dia juga berjoging di sekitar kawasan perumahannya untuk memastikan dirinya terus cergas.

"Jika saya tidak bermain boling untuk sesuatu tempoh, pergelangan tangan dan jari saya akan sakit. Ia juga penting untuk mempunyai kulit yang keras pada jari, atau ia akan alami kesakitan yang boleh menyebabkan kecederaan,” jelasnya.