SHAH ALAM - Kerajaan sepatutnya turut membantu golongan M40 melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Plus) dan bukan sekadar memberi penumpuan terhadap B40.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menilai RM40 bilion yang diperuntukkan dalam Pemerkasa Plus sebagai satu angka yang besar tetapi dalam masa yang sama beliau menegaskan golongan M40 terus dipinggirkan.
Syed Saddiq berkata, kerajaan dalam pengumuman Pemerkasa Plus juga telah mengabaikan golongan M40 sebagai penerima bantuan sepanjang pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh atau total lockdown.
"Inilah nasib rakyat susah termasuklah golongan M40. Kalau tauke kilang, boleh operasi macam biasa tanpa sebarang kesukaran tetapi golongan M40 seolah-olah terlalu ‘kaya’ untuk terima bantuan. Mereka terperangkap di dalam siling kaca M40.
"Benar, kerajaan umum itu ini, tetapi daripada RM40 bilion, berapa ringgit dan sen yang benar-benar sampai ke tangan keluarga M40 dan mampu bantu mereka sediakan makanan di atas meja untuk keluarga,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu menjelaskan, golongan M40 juga perlu mendapat bantuan melalui program Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan perlindungan moratorium secara automatik.
"Perlindungan moratorium secara automatik tidak diberikan walaupun sudah banyak desakan daripada saya dan ramai lagi pihak luar. Macam mana keluarga M40 mahu terus bayar ansuran kepada bank jika pekerjaan dan pendapatan mereka semua terjejas sewaktu lockdown?
"Bantuan perlindungan i-Sinar dan i-Lestari juga tiada. Hilang satu lagi harapan golongan M40.
"Waktu PKP 3.0 ini, ramai akan duduk rumah. Bekerja dan belajar di rumah. Bil elektrik pasti akan naik tinggi. Kerajaan patut tolong, beri pengurangan yang jelas dan boleh bantu keluarga susah dari M40 dan B40. Adakah kerajaan umum dalam Pemerkasa Plus berjumlah RM40 bilion? Tidak ada,” katanya.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin, mengumumkan pelaksanaan Pemerkasa Plus bernilai RM40 bilion bagi mengurangkan beban rakyat serta memacu pertumbuhan ekonomi negara.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Tiada bank muflis beri moratorium enam bulan tahun lalu'
ARTIKEL BERKAITAN: Kuasa BNM untuk tentukan pemberian moratorium