Tiga ekor gajah liar dipindahkan ke taman negara

Iklan
Operasi pemindahan gajah dari Simpang Renggam ke Taman Negara Endau Rompin bermula Rabu.

KLUANG - Tiga ekor gajah yang ditangkap di Batu 43 Kampung Pinggir, Simpang Renggam di sini pada Ahad dipindahkan ke Taman Negara Endau Rompin.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, operasi pemindahan haiwan itu bermula pada pagi Rabu melibatkan kekuatan seramai 26 anggota.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, anggota terbabit terdiri daripada 13 kakitangan Perhilitan Johor dan 13 kakitangan Pusat Koservasi Gajah Kebangsaan di Lanchang, Pahang.

"Operasi pemindahan dijangka selesai pada Sabtu ini.

Iklan

"Dua ekor gajah denak bernama Abot dan Rambai turut digunakan bagi membantu kelancaran pemindahan tiga ekor gajah itu," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Salman berkata, kolar satelit dipasang pada seekor gajah tersebut yang berfungsi sebagai pengesan amaran awal.

Iklan

"Kolar satelit ini akan memudahkan pemantauan pergerakan kumpulan gajah ini, sekali gus membantu usaha mengurangkan risiko konflik manusia dan gajah di negeri ini," katanya.

Pada Ahad, Perhilitan Johor menangkap tiga ekor gajah liar menerusi operasi tangkapan di kawasan berkenaan.

Tangkapan dibuat susulan aduan orang awam mengenai kumpulan gajah berada di dalam kebun berhampiran Hentian Sebelah Simpang Renggam.

Beberapa gambar dan video operasi pemindahan gajah tersebut turut tular di media sosial.