BAITULMAQDIS - Pemimpin pembangkang Israel, Yair Lapid pada Rabu berkata, beliau berjaya membentuk sebuah kerajaan campuran bagi menamatkan pemerintahan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.
Pengumuman itu dibuat beberapa jam sebelum tamatnya tempoh yang diberikan Presiden Israel, Reuven Rivlin kepadanya bagi membentuk kerajaan selepas Netanyahu sebelum ini gagal untuk berbuat demikian.
Lapid berjaya membentuk kerajaan campuran tersebut setelah mengadakan rundingan dengan beberapa buah parti politik lain bagi menyingkirkan Perdana Menteri yang telah memerintah Israel bagi tempoh yang lama itu.
"Saya berjaya," menurut Lapid menerusi akuan Facbooknya seperti dilaporkan oleh AFP.
Berikutan kejayaan itu, seorang jutawan yang juga bekas Menteri Pertahanan dari Parti Yamina, Naftali Bennett, 49, akan menjadi Perdana Menteri baharu dalam sebuah kerajaan campuran sebelum Lapid mengambil alih dan berkhidmat selama dua tahun.
Lapid dan rakan-rakan pakatannnya itu mempunyai tempoh seminggu sebelum 120 Ahli Parlimen Israel mengundi untuk mengesahkan kerajaan baharu Israel itu.
Beliau dari parti Yesh Atid pada Ahad lalu memperoleh sokongan dari Bennett bagi membentuk kerajaan campuran.
Pembentukan kerajaan baharu itu dibuat selepas parti-parti politik gagal mendapat majoriti dalam pilihan raya umum yang diadakan pada Mac lalu.
Ia merupakan pilihan raya kali keempat dalam tempoh dua tahun selepas bajet kerajaan di bawah pemerintahan Netanyahu gagal diluluskan oleh Parlimen Israel sebelum ini. - Agensi