'Total lockdown': FAMA buka bilik gerakan bantu petani pasarkan hasil

Iklan
Antara barangan segar yang dijual di MFO Putrajaya.

PUTRAJAYA - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mewujudkan bilik gerakan (Crisis Management Centre) dalam tempoh penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial ataupun 'total lockdown' Fasa 1 bermula Selasa lalu hingga 14 Jun ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, bilik gerakan yang beroperasi pada jam 8 pagi hingga 7 petang itu diwujudkan bagi membantu para petani yang menghadapi masalah memasarkan hasil pertanian mereka.

Iklan
Iklan

"Bagi memastikan kelancaran aktiviti pemasaran hasil pertanian semasa tempoh pelaksanaan PKP 'total lockdown' Fasa 1 ini, FAMA telah mewujudkan Bilik Gerakan (Crisis Management Centre).

"Ia bagi membantu para petani yang menghadapi masalah memasarkan hasil pertanian mereka dengan melayari portal FAMA Feedback System (http://ffs.fama.gov.my/aduan/) atau menghubungi talian hotline seperti di lampiran," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Pasar Segar Terkawal (PST) di MyFarm Outlet (MFO) Putrajaya pada Khamis.

Sementara itu, mengulas mengenai lawatan kerja ke MFO, Putrajaya, Che Abdullah berkata, lawatan tersebut dibuat bagi melihat sendiri ketersediaan pasar itu membekalkan keperluan harian secara online, pre order, delivery serta drive thru khususnya bagi penduduk Putrajaya.

Iklan

Katanya, MFO Putrajaya telah mula beroperasi pada 1 Mac 2016 dan dibuka setiap hari kecuali Isnin dengan waktu operasi bermula jam 6 pagi hingga 4 petang di dalam tempoh pelaksanaan 'total lockdown' ini.

"Nilai jualan yang dicatatkan dari Januari 2021 hingga April 2021 merekodkan RM 3.8 juta.

"MFO Putrajaya beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan dengan pintu masuk dan keluar dikawalselia oleh pihak berkuasa, laluan sehala di dalam premis serta menghadkan bilangan kemasukan pengunjung pada satu-satu masa," katanya.

Jelasnya, sebanyak 42 lokasi Pasar Segar Terkawal (PST) di seluruh negara dalam tempoh penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial ataupun 'total lockdown' Fasa 1 ini.

Jumlah PST yang dibuka itu merangkumi 24 Pasar Tani Kekal, dua MyFarm Outlet (MFO), 14 Pusat Operasi FAMA dan dua Agrobazaar.