Saka sifatkan jaringannya detik paling bersejarah

Iklan
Saka sifatkan jaringannya sebagai detik bersejarah dalam kariernya.

PEMAIN muda England, Bukayo Saka menyifatkan jaringannya pada aksi persahabatan berdepan Austria pada Rabu sebagai detik paling bersejarah dalam kariernya setakat ini.

Menurut pemain Arsenal berusia 19 tahun itu, ia adalah jaringan sulungnya pada di pentas antarabangsa dan ia akan menjadi jaringan yang tidak akan dilupakannya sepanjang hayat.

Iklan
Iklan

Malah katanya, dia tidak akan melupakan saat menerima panggilan untuk beraksi bersama skuad The Three Lions itu baru-baru ini.

"Ketika mendapat panggilan skuad kebangsaan England baru-baru ini ia menjadi satu detik paling menggembirakan saya sepanjang bergelar pemain bola sepak.

Iklan

"Selain menjadi panggilan pertama setakat ini, saya juga berjaya menjaringkan gol buat kali pertama buat pasukan senior dan ia satu sesuatu yang cukup bersejarah buat saya.

"Sekali gus ia memberikan perasaan yang cukup luar biasa buat saya pada ketika ini,” katanya.

Iklan

Pada aksi berdepan skuad The Wunderteam itu, Saka menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-56 bagi memastikan kemenangan skuad The Three Lions itu pada aksi persahabatan berkenaan menjelang saingan Euro 2020.

Saka juga dijangka bakal beraksi pada aksi persahabatan terakhir berdepan Romania Ahad ini sebagai persiapan terakhir pasukan sebelum berdepan Croatia pada 13 Jun, Scotland (18 Jun) dan Republik Czech pada 23 Jun bagi aksi Kumpulan D, Euro 2020.

Sementara itu Saka turut berazam untuk menempatkan dirinya dalam senarai pemain yang bakal beraksi di Euro 2020 kelak.

Saka berkata, sekiranya hasrat berkenaan berjaya direalisasikan ia akan menjadi detik yang cukup bermakna sejak berkecimpung dalam dunia bola sepak.

"Ia memang impian saya sejak kanak-kanak untuk beraksi mewakili negara saya, menjaringkan gol.

"Jika terpilih untuk mewakili England di bawah kendalian Gareth Southgate, ia akan menjadi detik paling bersejarah dan menimbulkan perasaan hebat buat saya.

"Perasaan itu memang sukar untuk digambarkan dan saya berharap perasaan itu akan dapat dirasai lagi apabila membantu England melakar kejayaan dalam Euro 2020 nanti,” katanya.