KLANG - Taktik sindiket yang mengikrar barangan lain untuk menyeludup masuk minuman keras bernilai RM1.6 juta termasuk cukai terbongkar dalam dua kes berasingan di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, di sini Mei lalu.
Penolong Ketua Pengarah, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Zon Tengah, Datuk Zazuli Johan berkata, dalam kes pertama pada 3 Mei lalu pasukan dari Bahagian Penguatkuasaan, Kastam Zon Tengah, Unit II (Selangor) berjaya mematahkan cubaan menyeludup minuman keras membabitkan sebuah kontena.
Menurutnya, pemeriksaan menemui 23,076 liter minuman keras dipercayai belum mendapat kelulusan Kastam bernilai kira-kira RM1.18 juta termasuk cukai.
"Berdasarkan maklumat, barangan di dalam kontena tersebut dinyatakan sebagai ‘Stainless Steel Welded Pipe’," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pada 29 Mei pula, Kastam Zon Tengah berjaya menahan sebuah kontena membawa 22,176 liter minuman keras bernilai RM457,380 termasuk cukai dan pemeriksaan mendapati minuman keras itu belum mendapat kelulusan.
"Barangan itu juga dikesan diikrar sebagai ‘Castor Wheel’ dengan menggunakan Borang Kastam 1," katanya.
Dalam pada itu, Zazuli berkata, kedua-dua kes ini sedang disiasat untuk mengetahui syarikat atau ejen penghantaran yang terbabit bagi tindakan selanjutnya di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.
Tegasnya, minuman keras diklasifikasi sebagai dagangan terlarang di bawah Butiran 3, Jadual Ketiga/Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.
Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu pihak Kastam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat," katanya.