SHAH ALAM - Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor (DPPNS) menggesa pihak berkuasa dan penguat kuasa agama supaya segera mengambil tindakan tegas terhadap individu yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW serta menyeleweng dari ajaran Islam sebenar.
Ketuanya, Hanafi Zulkapli menggesa pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk menyekat laman Facebook individu itu termasuk sebaran melibatkan dakwaan sesat serta berunsur menghina Nabi Muhammad untuk memelihara kesucian agama dan aqidah umat Islam.
Menurut Hanafi, dakwaan tersebut disiarkan menerusi siaran langsung di Facebook pada jam 9 malam, 2 April lalu.
"Kesesatan ini perlu diambil tindakan segera agar dapat dibendung daripada merosakkan akidah umat Islam. Amat bahaya, jika siaran rakaman ini terus tersebar tanpa sebarang usaha membendung dan menyekatnya kerana tiada tapisan.
"Lebih malang lagi, jika perkara sebegini dianggap remeh yang akhirnya memberi kesan kepada masyarakat umum kelak,” katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Khamis.
Katanya, semua Pemuda Kawasan di Selangor akan membuat laporan polis berhubung isu berkenaan dengan segera sebagai tanda serius di peringkat Pemuda Pas Selangor bagi menggesa individu terbabit ditangkap segera dan didakwa.
Dalam pada itu, Hanafi berharap pihak polis memberikan kerjasama yang baik untuk mengambil tindakan proaktif berkenaan isu tersebut.
"Pihak penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor perlu tampil segera mengambil pendirian tegas dan menahannya kerana apa yang didakwa menyentuh soal agama.
"Wajar untuk pihak penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri bertindak mengikut peruntukan di bawah Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 atau mana-mana seksyen bersesuaian dengan isu yang timbul,” katanya.