GEORGETOWN - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang mengumumkan bahawa beliau akan menyumbangkan satu bulan gaji pada bulan ini kepada Tabung Covid-19 Pulau Pinang.
Selain Choo Kiang, seramai 29 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang daripada pelbagai parti turut menyumbangkan sebanyak 30 peratus gaji mereka pada bulan ini ke dalam tabung tersebut.
Perkara itu diumumkan menerusi satu kenyataan bersama Choo Kiang dan 29 ADUN terbabit pada Khamis.
Menurut kenyataan itu, langkah tersebut merupakan sumbangan kali kedua selepas sumbangan 30 peratus gaji dibuat pada tahun lalu.
"Dengan sumbangan ini, kami berharap ia akan digunakan dengan sebaiknya bagi memanfaatkan rakyat Pulau Pinang yang terpaksa berhadapan dengan Sekatan Pergerakan Penuh (total lockdown) selepas tiga kali pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
"Kami turut meminta agar seluruh rakyat Pulau Pinang dapat bersama-sama menyokong usaha kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan dalam membendung pandemik Covid-19 ini.
"Pastikan semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dipatuhi sepenuhnya dan membuat pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dengan segera," katanya.
Pada Rabu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumumkan semua Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menyumbang sebulan gaji pada bulan ini ke Tabung Covid-19 Pulau Pinang.
Kon Yeow berkata, keputusan itu dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Pulau Pinang yang bersidang pada pagi Rabu.
Menurutnya, keputusan tersebut sebagai tanda solidariti terhadap usaha melawan pandemik Covid-19 di negeri ini.