'Total lockdown' tidak akan berjaya turunkan kes Covid-19

Iklan
Tan Yee Kew

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh atau 'total lockdown' bermula Selasa lalu tidak akan berjaya menurunkan jumlah kes Covid-19 susulan beberapa aktiviti sosial dan ekonomi masih dibenarkan beroperasi seperti biasa.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew berkata, jumlah kes dijangka terus meningkat selepas ini malah penguatkuasaan penutupan penuh itu juga hanya bakal memberi kesan kepada peniaga, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pelajar.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sebanyak 17 sektor masih dibenarkan beroperasi seperti biasa sepanjang penguatkuasaan ini meliputi industri perkilangan dengan 60 peratus tenaga kerja.

"Kilang boleh terus operasi, pasar dibuka seperti biasa, orang keluar bekerja setiap hari, berjoging luar rumah, bersolat di masjid bahkan ada yang kahwin, (jadi) 'lockdown' apakah ini?

Iklan

"Berdasarkan keadaan trafik sesak dan padat di jalan raya, kita sepatutnya sedar bahawa penutupan penuh ini tidak akan beri impak untuk turunkan jumlah kes," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini memutuskan melaksanakan 'total lockdown' fasa pertama di seluruh negara bermula 1 Jun sehingga 14 Jun ini bagi membendung penularan Covid-19.

Iklan

Sidang khas yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu turut memutuskan semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang disenaraikan oleh MKN.

Dalam pada itu, Yee Kew berkata, bagi melandaikan jangkitan Covid-19, kerajaan perlu melaksanakan penutupan penuh secara serius dan melakukan proses vaksinasi besar-besaran.

"Apabila rantaian jangkitan terputus dan vaksinasi mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus, barulah program pemulihan ekonomi akan menjadi bermakna dan kehidupan kembali normal," katanya.