Harraz bakal terima alat bantu dengar

Iklan
Harraz dijangka boleh bercakap selepas melakukan pembedahan dalam waktu terdekat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

BACHOK – Penantian lima tahun seorang ibu untuk mendengar anaknya bersuara bakal tercapai tidak lama lagi apabila dana untuk pembelian alat bantu dengar anak lelaki tunggalnya itu sudah mencukupi.

Wan Norfaraliza Wan Abdul Halim, 34, berkata, bagaikan mimpi apabila ada individu yang tampil untuk membantu anaknya, Muhammad Harraz Firdaus Shamsulhadi selepas berita mengenai penderitaan kanak-kanak itu disiarkan Sinar Harian pada 27 Mei lalu.

Iklan
Iklan

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Harraz berdepan masalah pendengaran dan tidak mampu bersuara kecuali menangis disebabkan berdepan masalah saraf di bahagian telinga.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu tunggal perlu RM82,000 beli alat bantu pendengaran anak

Iklan

Wan Norfaraliza hanya berkomunikasi dengan Harraz melalui sentuhan setiap hari kerana kanak-kanak tersebut ‘tidak menyedari’ apa yang berlaku di sekelilingnya.

Mampu senyum dan ketawa, namun tidak mampu bercakap atau berkomunikasi lanjut menjadi satu kekangan kepada Harraz untuk bermain seperti kanak-kanak normal lain walaupun kini sudah berusia lima tahun.

Iklan

Kanak-kanak riang itu memerlukan dana RM82,000 untuk pembelian alat pendengaran tersebut dan rawatannya dijangka dilakukan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Mengulas lanjut, Wan Norfaraliza berkata, dia amat bersyukur kerana impiannya untuk melihat anaknya itu kembali mendengar seperti kanak-kanak lain akan tercapai dengan izin ALLAH tidak lama lagi.

"Terima kasih kepada penderma tersebut dan saya hargai semua hadiah dan sumbangan yang diberikan kepada Harraz sejak berita mengenainya dikeluarkan.

"Saya berharap selepas ini dia akan kembali normal sebagaimana kanak-kanak lain walaupun terpaksa menggunakan alat pendengaran tersebut setiap masa. Sekurang-kurangnya dia boleh panggil saya 'mama' dan dia akan dengar saya panggil dia," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Wan Norfaraliza memberitahu, pembedahan akan dilakukan dalam waktu terdekat selepas penyumbang melangsaikan kos yang diperlukan kepada pihak hospital nanti.