SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] China menafikan tuduhan menceroboh ruang udara Malaysia susulan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mengesan kemasukan 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) di ruang udara negara ini.
Menurut jurucakap kedutaan China di Malaysia, pesawat PLAAF tersebut sedang menjalani latihan penerbangan rutin tentera udara dan tidak menyasarkan mana-mana negara.
"Menurut undang-undang antarabangsa, pesawat tentera China menikmati kebebasan penerbangan berlebihan di ruang udara yang relevan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut, katanya, semasa latihan dijalankan, pesawat tentera tersebut mematuhi undang-undang antarabangsa dan tidak memasuki ruang udara negara lain.
Menurut Kementerian Luar China, Wang Wenbin, negara tersebut juga telah berhubung dengan pegawai di Malaysia mengenai perkara tersebut.
"Tentera China melakukan latihan penerbangan rutin berhampiran Kepulauan Nansha dengan mengikuti undang-undang antarabangsa yang ketat dan tidak melanggar ruang udara asing," katanya pada taklimat media di Beijing.
ARTIKEL BERKAITAN: 16 pesawat tentera udara China masuk Zon Maritim Malaysia
Pada Selasa, TUDM mengesan penerbangan mencurigakan melibatkan 16 pesawat PLAAF yang memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia, Kota Kinabalu dan menghampiri ruang udara nasional.
Panglima Tentera Udara (PTU), Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad berkata, penerbangan pesawat PLAAF itu dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM dari Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi.
Pada Rabu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Wisma Putra akan mengeluarkan nota diplomatik untuk membantah kerajaan China terhadap pencerobohan 16 pesawat China ke ruang udara Malaysia.
Jelas Hishammuddin, kementerian juga akan memanggil duta besar China ke Malaysia untuk memberikan penjelasan mengenai pelanggaran ruang udara dan kedaulatan Malaysia itu.
Tambahnya, walaupun mempunyai hubungan diplomatik yang mesra dengan mana-mana negara ia tidak bermaksud akan menjejaskan keselamatan negara, Malaysia tetap teguh mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.