TANJUNG MALIM - Seorang lelaki warga emas maut dihempap pokok tumbang dalam kejadian hujan ribut berhampiran lampu isyarat di Taman Universiti di sini pada Khamis.
Ketika kejadian sekitar jam 4 petang itu, mangsa dikenali sebagai Chin Kock Heng, 67, dikatakan dalam perjalanan pulang dari kebun sayur ke rumahnya dengan menunggang motosikal secara sendirian.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada jam 4.41 petang.
"Pokok yang tumbang telah menghalang jalan raya dan menghempap sebuah motosikal ditunggangi seorang lelaki yang menggunakan laluan di situ.
"Terdapat seorang mangsa terlibat dan pemeriksaan kemudiannya mendapati, lelaki itu telah meninggal dunia," katanya.
Menurutnya, anggota terlibat dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim kemudiannya melakukan kerja-kerja pembersihan dan pemotongan pokok.
"Mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
"Operasi pembersihan yang dilakukan bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selesai sepenuhnya pada jam 5.32 petang," katanya.
Sinar Harian dimaklumkan, hujan bersama angin kencang melanda kawasan Tanjung Malim dan berlarutan selama hampir satu jam bermula jam 4 petang.