[SIRI 3] SATU kisah benar tentang bagaimana seorang lelaki muda yang berasal dari Sarawak telah berhijrah ke Kuala Lumpur untuk membina kehidupan yang lebih baik, tetapi telah terjerumus dalam kancah hutang dan sedang mencari jalan keluar.
Selepas meletakkan jawatan untuk pulang ke Bintulu dan menjaga ibu saya, saya cuma ada beberapa ribu ringgit yang berbaki daripada pinjaman sebanyak RM134,000 yang saya ambil. Itu sahaja wang yang saya ada untuk menyara kehidupan. Kebanyakan daripada wang pinjaman itu telah saya gunakan untuk membayar bil perubatan ibu saya dan melangsaikan beberapa hutang saya yang lain.
Dalam masa beberapa bulan, wang yang tinggal itu sudah habis digunakan. Oleh sebab saya menjaga ibu sepanjang hari, saya cuma dapat mengambil upah membuat kerja-kerja rencam di kawasan perumahan saya untuk menjana sedikit pendapatan.
Yang paling merisaukan, saya tidak dapat membayar balik pinjaman saya sejak saya berhenti kerja. Jadi saya bukan sahaja mengganggur dan kini berpendapatan kecil, saya juga ada banyak hutang yang saya tidak mampu bayar.
Akhirnya ibu saya meninggal dunia 3 tahun selepas saya pulang ke Bintulu. Saya mengambil keputusan untuk berhijrah semula ke Kuala Lumpur dan cuba membina kembali hidup saya. Ketika itu saya mendapat tahu yang keadaan kewangan saya sudah betul-betul parah.
Setelah kembali semula ke Kuala Lumpur, saya rasa cuak yang mungkin saya sudah disenaraihitamkan setelah berhenti membayar balik pinjaman. Saya dapati akaun bank saya sudah dibekukan. Ada kawan yang telah meminjamkan wang kepada saya dengan mendepositkan wang tersebut ke dalam akaun bank saya. Tetapi bila saya cuba nak keluarkan wang tersebut, saya tidak dapat berbuat begitu.
Ketika itu barulah saya sedar bahawa masalah saya sudah menjadi lebih berat daripada yang disangka. Saya tertanya-tanya mungkin saya telah pun diisytiharkan muflis. Tetapi saya terlalu takut untuk menyemak dengan bank.
Walaupun saya ada terfikir untuk mendapatkan semula pekerjaan saya sebagai Polis Bantuan, saya tidak jadi berbuat begitu gara-gara situasi kewangan saya. Saya takut kalau-kalau pihak berkuasa akan dapat mengesan saya dan saya tidak tahu apa yang akan mereka lakukan pada saya.
Akhirnya saya mendapat tawaran kerja dengan sebuah syarikat keselamatan. Saya meminta mereka membayar gaji saya dengan wang tunai supaya saya tidak perlu berurusan dengan bank. Walaupun begitu, gaji saya cuma RM1,900 sebulan, cukup-cukup saja untuk menampung keperluan keluarga saya, jadi saya terus mengelak daripada melangsaikan hutang saya.
Saya meneruskan pekerjaan sebagai pengawal keselamatan selama lebih daripada 10 tahun. Pada suatu hari, bos saya telah meminta maklumat bank akaun saya. Syarikat majikan ingin memasukkan sedikit wang saguhati ke dalam akaun bank semua pekerja. Saya memaklumkan yang saya tidak ada akaun bank disebabkan oleh masalah hutang saya.
Bos saya ada beritahu, memandangkan sudah bertahun-tahun masa berlalu, hutang saya tentu sudah bertambah berkali-kali ganda akibat faedah dan caj bayaran lewat yang dikenakan. Saya betul-betul panik. Saya ingatkan saya mungkin akan menjadi muflis, tapi saya tak sedar yang jumlah hutang saya akan terus bertambah dan bertambah!
Bos saya menasihatkan saya untuk mendapatkan laporan kredit saya secara dalam talian dengan mendaftar dengan CTOS, iaitu agensi pelaporan kredit, untuk mengetahui berapa sebenarnya jumlah hutang saya dan mencari jalan untuk melangsaikannya.
Jangan lupa ikuti bahagian seterusnya esok.
* Multiply ialah satu platform dalam talian yang menyajikan maklumat yang mudah difahami tentang topik kewangan peribadi. Multiply, satu inisiatif bukan untung oleh Creador Foundation membawakan anda isi kandungan yang percuma dan neutral, hasil daripada kajian teliti yang telah kami jalankan.
ARTIKEL BERKAITAN:
'Bagaimana saya menyelamatkan diri daripada menjadi muflis'
‘Apabila tiada pekerjaan, saya tidak mampu bayar pinjaman’