SHAH ALAM- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) telah mengaktifkan program survelan bagi mengesan, mengawal dan mencegah penularan penyakit kulit kental (LSD) pada ternakan lembu di seluruh negara.
Menurut JPV, sebanyak 81,252 ekor ternakan lembu di 9,108 premis atau ladang telah diperiksa dan mendapati 89 ekor (0.1 peratus) menunjukkan gejala jangkitan LSD setakat ini.
"Sebagai usaha mencegah penularan penyakit LSD menerusi kemasukan ternakan lembu yang diimport, JPV juga telah mengetatkan syarat import lembu hidup daripada luar negara.
"Dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) akan memperkemas kawalan di pintu masuk negara di sempadan Malaysia.
"Tindakan juga akan diambil ke atas mana-mana konsainan lembu import yang menunjukkan gejala penyakit LSD di stesen kuarantin,” kata JPV dalam satu kenyataan pada Khamis.
JPV turut memohon kerjasama pemain industri termasuk pengimport, peraih dan penternak supaya segera menghubungi pejabat perkhidmatan Veterinar di negeri atau daerah berdekatan sekiranya lembu terdapat gejala penyakit LSD.
Jelasnya, persampelan akan dijalankan untuk tujuan pengesahan penyakit dan ternakan lembu yang dijangkiti perlu diasingkan serta dilupuskan menerusi penyembelihan di rumah sembelih jabatan atau swasta yang dilesenkan.
Menurut JPV, tiada rawatan khusus untuk penyakit itu dan ternakan yang dijangkiti boleh diberikan rawatan bagi mengelak jangkitan sekunder menerusi pemberian antibiotik, anti-inflamatori dan vitamin.
"Walaupun penyakit LSD tidak menyebabkan kematian yang tinggi, tetapi ia memberi kesan ekonomi kepada industri penternakan lembu dan kerugian kepada penternak akibat penurunan pengeluaran susu pada lembu tenusu, penurunan berat badan, keguguran dan kemandulan kepada lembu pejantan,” ujarnya.
Selain itu, JPV menafikan gambar individu yang tular dengan gejala di bawah mata disebabkan jangkitan LSD kerana penyakit itu tidak menjangkiti manusia.
"Kami juga ingin memaklumkan bahawa berita yang tular berkaitan elakkan membeli daging segar yang dijangkiti penyakit lembu di Perak adalah tidak benar,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:LSD tidak mengancam manusia
Tiga kes disyaki penyakit kulit kental di Kedah sedang dianalisa
42 lembu import dari Thailand dijangkiti penyakit kulit kental