SHAH ALAM - Undang-undang antarabangsa berkaitan kebebasan untuk bergerak dan kegunaan ruang udara adalah bagi tujuan penerbangan komersial sahaja.
Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Dr Roy Anthony Rogers berkata, sebarang kebebasan pergerakan berkaitan ketenteraan adalah tidak diterima.
"Menurut United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS) Perkara 58 (1) dan Perkara 88, sebarang kebebasan untuk bergerak, ruang udara digunakan itu untuk keamanan dan penerbangan komersial.
"Namun yang bertujuan ketenteraan sukar untuk diterima. Terdapat perbezaan antara ketenteraan dan juga komersial. Ketenteraan tidak boleh dijustifikasi di bawah UNCLOS,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Pada 3 Jun, China menafikan tuduhan menceroboh ruang udara Malaysia susulan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mengesan kemasukan 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) di ruang udara negara ini.
Menurut jurucakap kedutaan China di Malaysia, pesawat PLAAF tersebut sedang menjalani latihan penerbangan rutin tentera udara dan tidak menyasarkan mana-mana negara.
Kata jurucakap itu, menurut undang-undang antarabangsa, pesawat tentera China menikmati kebebasan penerbangan berlebihan di ruang udara yang relevan.
Menurut Roy Anthony, berdasarkan semakan radar yang dikeluarkan, memang terbukti bahawa pesawat tersebut memasuki ruang udara Malaysia.
"Berdasarkan radar, kalau ikut peta, memang ada masuk sebahagian ruang. Radar tidak memihak sesiapa. Radar ialah mesin dan bukan pendapat. Kalau mesin tunjuk sedemikian, maka itulah ia,” katanya.
Tambahnya, perbincangan dengan negara ASEAN perlu dijalankan bagi mencapai satu persetujuan supaya perkara sedemikian tidak berulang.
"Hubungan Malaysia dengan China baik. Jadi perkara ini tidak seharusnya berlaku,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: 16 pesawat tentera udara China masuk Zon Maritim Malaysia
China nafi ceroboh ruang udara Malaysia