Kehilangan yang sukar diganti

Iklan
Allahyarham Tan Sri Harussani

VIRUS Covid-19 telah meragut nyawa sejumlah individu terkenal dan berbakat di seluruh dunia.

Daripada ahli sukan, artis seni, tokoh negara sehinggalah ulama tersohor.

Iklan
Iklan

Ahad lalu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria meninggal dunia selepas enam hari dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, juga akibat dijangkiti Covid-19.

Di Indonesia, kira-kira 400 ulama dan kiai dilaporkan meninggal dunia berpunca daripada wabak itu.

Iklan

Perkara itu didedahkan Ketua Satkor Covid-19 Nahdatul Ulama, KH Ulun Nuha, Mac lalu.

Disebabkan itu, banyak orang di republik itu mengaitkannya sebagai petanda kiamat.

Iklan

Ini termasuklah Syekh Ali Jaber dan Tengku Zulkarnain yang meninggal dunia tahun ini pada usia 44 dan 57 tahun.

Kedua-dua tokoh agama itu mempunyai ramai pengikut di YouTube termasuk dari Malaysia.

Pemergian banyak ulama ini bukan hanya menimbulkan duka, tetapi juga berita buruk buat umat Islam.

Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menggambarkan peristiwa beberapa tokoh ulama meninggal dunia hampir serentak ibarat rantaian biji tasbih yang jatuh serta terungkai sekali gus.

Setiap kematian menghancurkan perasaan orang yang mereka sayang, tetapi pemergian sejumlah tokoh dalam bidang masing-masing ini dirasai kehilangannya oleh berjuta-juta orang.

Apatah lagi bukannya mudah untuk melahirkan seorang tokoh terbilang.

Malcolm Gladwell, penulis buku Outliers berpendapat seseorang perlu menjalani latihan selama 10,000 jam untuk menjadi pakar dalam sesuatu bidang seperti sains dan kejuruteraan.

Ini bermakna jika kita bekerja 40 jam seminggu dan menghabiskan setiap detik bagi mengasah kemahiran tertentu, ia akan mengambil masa lima tahun untuk mencecah 10,000 jam.

Pakar Psikologi daripada Universiti Florida, Anders Ericsson pula mengatakan kadang-kadang ia memerlukan sekitar 20,000 hingga 25,000 jam sebelum seseorang benar-benar pakar dalam sesuatu subjek atau kemahiran.

Tetapi katanya tidak semua kemahiran adalah sama, ada yang mengambil masa kurang 10,000 jam, ada pula yang lebih lama lagi.

Untuk menjadi pakar, tiada apa yang dapat menggantikan masa. Ia menuntut segunung dedikasi, disiplin dan tumpuan tidak berbelah bahagi.

Untuk menggantikan ulama sejati pula pastilah lebih sukar lagi. Tempoh pengajian empat tahun di universiti tidak boleh dianggap cukup untuk menjadi alim.

Ulama bukan sekadar perlu berilmu, bahkan mesti beramal dan menyebarkan ilmunya.

Tentulah sesuatu yang menyedihkan apabila tokoh yang digilap selama bertahun-tahun, akhirnya hilang dalam sekelip mata disebabkan wabak.

Kajian oleh Institute for Health Metric and Evaluation (IHME), Universiti Washington, Amerika Syarikat (AS) menjangkakan jumlah kematian akibat Covid-19 di Malaysia yang sekarang 2,993 orang, mungkin mencecah 26,000 September depan.

Kajian yang sama turut menganggarkan angka kes kematian harian akan sampai sehingga 200 kes pada akhir Ogos depan.

Dapatan IHME itu adalah berdasarkan trajektori semasa, kata Ahli Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Dunia, Profesor Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman ketika diwawancara oleh Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar pada program Sinar Live, Rabu lalu.

"Covid-19 bakal menjadi punca kematian kedua tertinggi di Malaysia selepas sakit jantung,” kata Dr Adeeba.

Dengan angka-angka yang begitu membimbangkan, dunia mungkin perlu bersedia untuk kehilangan lebih ramai ‘permata’ yang sukar dicari ganti.

Wabak Covid-19 mestilah segera ditamatkan.

* Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian